Peminat wanita lari rumah, telan pil kerana A Rahman

(Dikemaskini )

Peminat wanita lari daripada rumah dan tinggal bersama keluarganya adalah antara pengalaman tidak dapat dilupakan penyanyi popular irama Pop Yeh Yeh, Datuk A Rahman Hassan.

Ketika era kegemilangannya sekitar 1960-an, penyanyi ini mengakui berdepan kegilaan peminat yang kadang-kala begitu obses dengan artis pujaan mereka.

“Bila sebut tentang peminat, ada satu rahsia yang telah lama saya simpan kerana tidak mahu mengundang pelbagai anggapan yang tidak baik kepada peminat tersebut.

“Pernah satu ketika ada dua peminat perempuan yang lari dari rumah datang berjumpa dan tinggal dengan saya di rumah keluarga saya di Johor Bahru.

“Selepas bercerita dan mendengar apa yang mereka katakan, keluarga membenarkan mereka tinggal di rumah kami tanpa mendedahkan kepada sesiapa terutamanya kepada pihak media.

“Begitu juga dengan satu lagi kes di mana ada seorang peminat perempuan yang ditahan di hospital kerana menelan banyak pil kerana saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bersama kumpulan muzik Nirwana yang ditubuhkan pada 1965, A Rahman mula mencipta nama menerusi lagu Tak Mengapa, Harapanku, Bimbang, Aku kan Pergi dan Cincin Belah Rotan.

Pernah kerja di pejabat Pos

Mengimbas detik awal penglibatannya A Rahman mengakui minatnya dalam bidang seni bermula ketika masih bersekolah.

“Kalau ikutkan permulaan, ketika darjah enam saya dah mula berjinak-jinak dengan nyanyian. Bila dah masuk sekolah menengah, Alhamdulillah beberapa kali juga saya menjadi juara pertandingan menyanyi," imbasnya yang mengakui tidak 'mencari' nama sebaliknya pengalaman.

Selepas tamat belajar, A Rahman berkhidmat sebagai kakitangan di Pos Malaysia bagi mengumpul wang membeli peralatan muzik.

“Sepatutnya ketika itu saya sambung belajar, tapi sebab minat dalam bidang seni, saya buat keputusan bekerja untuk cari duit.

“Gaji pertama saya sebanyak RM130 sebulan,dan dengan duit itu saya ke Singapura dan beli amplifier. Itulah motivasi terbesar saya mengejar impian selepas itu," ujarnya.

Mengakui berdepan pelbagai cabaran dalam usaha menempatkan diri dalam bidang seni, A Rahman berpendapat disiplin diri adalah tonggak utama dia dan rakan-rakan meraih kejayaan.

“Ketika itu memang ramai penyanyi hebat dan mempunyai kumpulan muzik iringan mereka sendiri. Untuk bersaing, kita perlu tampil dengan keistimewaan tersendiri yang boleh membezakan kita dengan penyanyi lain," katanya yang menganggap keistimewaan Nirwana adalah penampilan suara latar.

Jaga disiplin

Tambah A Rahman, Nirwana turut menjadi perhatian kerana kebolehan dan kemampuan bermain muzik dengan baik selain menjaga disiplin.

Kumpulan itu juga katanya, pernah merakam empat lagu dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu dilakukan secara live tanpa kesilapan.

Justeru, tambahnya, untuk memudahkan rakaman, mereka selalunya akan membuat latihan terlebih dahulu.

Menyentuh perkembangan terbaru, A Rahman sekali lagi bakal terlibat dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang dijangka berlangsung pada 4 dan 5 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka.

Meskipun hampir 50 tahun berlalu, penyanyi veteran ini gembira kerana irama itu masih diingati ramai, bukan sahaja dalam kalangan generasi lama tetapi juga generasi baru.

“Awal tahun kita berpeluang buat konsert di Istana Budaya dan kali ini di Melaka, kami rasa sangat bertuah kerana muzik kami tidak pernah dipinggirkan meskipun zaman berubah,” katanya yang telah menghasilkan lebih 7 EP sepanjang kerjaya seninya.

Konsert dengan kerjasama Istana Budaya dan Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) itu akan turut disertai beberapa artis lain antaranya L Ramli, Jeffrydin, J Sham, Maria Bachok, A Rozaini dan penyanyi remaja popular Aiman Tino.

 

Share