Jasa tarbiah al-Quran sejak umur 4 tahun

(Dikemaskini )

Berkat didikan datuk dan nenek belajar mengaji sejak berusia empat tahun, peserta program Qari Jr, Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, berjaya merangkul gelaran juara pertandingan itu yang berlangsung Ahad lalu.

Walaupun baru berusia 12 tahun, Qari Haikal berkebolehan menghafal kesemua 30 juzuk al-Quran.

Haikal membawa pulang wang tunai RM10,000, pingat dan trofi Qari Jr serta beberapa hadiah iringan lain.

Tidak seperti peringkat awal, peserta pusingan akhir Qari Jr berdepan cabaran lebih getir.

Mereka perlu melalui dua pusingan, iaitu diuji dengan bacaan tarannum mujawwad, manakala pusingan kedua peserta perlu membaca surah yang diberi dengan bacaan tarannum murattal.

Seterusnya mereka dikehendaki menjawab soalan berkaitan detik tajwid mengenai sifat huruf.

Kesemua peserta memberi persaingan sengit menerusi pertandingan yang bertemakan Syurga dan Neraka itu.

Peserta dinilai sepenuhnya oleh juri profesional terdiri daripada Tirmizi Ali yang juga Guru Besar Qari Jr siri ketujuh itu, selain juri jemputan, Dr Mohd Loqman Ibrahim. Malek Ahmad pula bertindak sebagai mualim.

Setiap bacaan peserta dinilai berdasarkan tajwid yang mewakili 40 peratus markah keseluruhan, taranum suara (40 peratus) dan kefahaman tajwid serta persembahan (20 peratus).

Pemenang tempat kedua pula ialah Qari Harith membawa pulang wang RM5,000, pingat dan hadiah sampingan lain. Qari Affan terpilih sebagai pemenang tempat ketiga. Dia membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,000 serta pingat.

Share