Berdepan penapisan cara Amir Muhammad


(Dikemaskini )

Bagaimana pengkarya harus berdepan penapisan?

Pengarah dan penerbit filem Amir Muhammad melihat terdapat banyak pendekatan untuk menangani masalah itu.

"Adakah saya mahu habiskan masa dan tenaga melawan perkara sebegini.

"Atau lebih baik saja saya lakukan perkara mengikut kemahuan sendiri dengan lakukan perubahan di mana yang boleh," katanya dalam forum berkaitan penapisan media di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan pengalamannya sendiri apabila dua filem dokumentarinya diharamkan sebelum ini, iaitu Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.

Amir berkata, dia tidak akan terus berdiam jika sesuatu keadaan semakin mendesak berlaku pada naskhahnya yang lain di masa depan.

"Saya akan bersuara sekiranya berasakan perkara berbangkit benar-benar tidak adil," katanya.

Bagaimanapun, katanya kalau perjuangan untuk mengubah kekangan tapisan itu terlalu besar atau amat menyusahkan, dia berpendapat adalah lebih baik dia membiarkan orang lain melakukannya.

"Saya akan sokong mereka," katanya.

Amir turut membandingkan pengalaman dirasai dengan situasi di luar dan beranggapan keadaan biasanya lebih buruk.

Katanya, di negara jiran, Filipina ada pembikin dokumentari yang dibunuh oleh pihak tertentu bagi memastikan maklumat mereka tidak didedahkan kepada umum.

“Saya pernah melihat sebuah kisah memaparkan perseteruan antara polis, tentera dan raja dadah dihasilkan oleh sebuah kolektif bebas yang menggelarkan diri mereka Southern Tagalog Exposure.

“Kisah itu terlalu bahaya untuk didokumentarikan. Pada penghujung filem tiada sebarang kredit nama ditulis. Saya kemudian dimaklumkan dua anggota kolektif itu dibunuh kerana menghasilkan filem terbabit.

“Jadi, bagi saya setakat naskhah diharamkan di beberapa stesen penyiaran, tiada apa sangat,” katanya.

Forum yang diadakan di Universiti UCSI cawangan Kuala Lumpur itu turut disertai oleh tiga lagi panel iaitu Ketua Kumpulan Kreatif Leo Burnett Jovian Lee, wartawan Patrick Lee dan Pengarah Zan Azlee.

Share