'Jangan halang sahabat saya cari jalan pulang ke syurga'

(Dikemaskini )

Pencipta lirik Pada Syurga Di Wajahmu, Bob Lokman, tampil membela penyanyi Datuk Awie - dan secara tidak langsung, kerajaan Kelantan - ekoran kontroversi baru-baru ini.

Kata Bob, dia bukan saja mengenali Awie, malah arwah bapa dan ibu penyanyi kumpulan Wings itu, selain keluarga mereka.

"Saya kenal Awie terbenih daripada keluarga yang sangat baik hati," katanya.

Justeru kata Bob, 53, tidak wajar orang ramai mengecam Awie kerana merosakkan kerajaan Islam Kelantan.

Katanya Awie mempunyai pengikut dan karisma tersendiri.

Mengenai kritikan pihak tertentu yang mengaitkan Awie dengan aktiviti yang dianggap bercanggah dengan Islam, Bob berkata, dia sendiri pernah terlebih berdosa berbanding penyanyi Opera Hidup dan Jerangkung Dalam Almari itu.

"Dia diminati. Kalaulah kita boleh benci kepada sikap lampaunya, apakah tidak wajar untuk kita menerima apabila Awie bertamu ke tempat kita?

"Adakah berdosa? Awie sedang melangkah usia, Awie sedang mengakhiri dunia. Maka salahkah kalau kita sama-sama menapak ke syurga?" katanya di Facebook.

Tahniah orang Kelantan

Awie dan kerajaan Kelantan menjadi buah mulut ramai apabila membuat persembahan di Kota Bharu sempena Minggu Motosikal Antarabangsa Kelantan pada hujung minggu lalu.

Sebelum itu Awie, 48, membuat dan rombongan motosikal berkuasa besar membuat kunjungan ke pondok tahfiz di negeri itu pada 7 Julai.

Beberapa pihak termasuk pemimpin parti politik mempertikaikan kewajaran kerajaan Kelantan membenarkan persembahan itu berlangsung.

Isu lain yang diperkatakan ialah pelbagai cerita peribadi penyanyi itu sendiri, seperti kes mahkamah membabitkan dia dan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Bagaimanapun penganjur berkata, Awie - atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman - diberi penjelasan sebelum membuat persembahan.

Antaranya Awie mesti berpakaian kemas, manakala lagu yang dibawa membawa mesej ketuhanan serta liriknya lunak.

Kata Bob, tidak wajar bagi mana-mana pihak mengecam Awie kerana pembabitannya di Kelantan itu.

"Maka jangan dihalang sahabat saya untuk mencari jalan pulang ke syurga," katanya.

Bob juga memuji peminat di Kelantan.

"Kepada Kelantanis (orang Kelantan), tahniah kerana tidak rasa tercemar keimanan anda apabila mendakap Awie dengan penuh sayang sebagai saudara seislam," katanya.

Share