Green Day nafi tak peduli kematian ahli akrobatik

(Dikemaskini )

Band punck rock Green Day meluahkan kesedihan mereka sebaik saja dimaklumkan mengenai kematian seorang ahli akrobatik di sebuah festival muzik di Sepanyol.

Pedro Aunion Monroy berasal dari Brighton, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari sangkar ketika sedang melakukan lagak ngeri di festival Mad Cool di Madrid pada Jumaat lalu.

Namun, isu yang menjadi pertikaian adalah Green Day ditelah seolah-olah tidak mengendahkan kematian Pedro dan meneruskan persembahan mereka di festival berkenaan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan pada laman sesawang rasmi Green Day, mereka menjelaskan tidak dimaklumkan dengan sebarang insiden hingga selepas persembahan berakhir.

“Kami bukan orang yang tidak berhati perut,” menurut kenyataan itu.

Pedro memiliki syarikat sendiri iaitu In Fact Aerial Dance yang berpangkalan di London.

Pada Jumaat lalu, Pedro dilaporkan terjatuh dari setinggi 30 meter ketika melakukan persembahan antara slot band Indie Rock Alt- J dan Green Day.

Pasukan perubatan berusaha selama 30 minit untuk menyelamatkan Pedro namun usaha itu menemui kegagalan. Tidak dapat dipastikan apa yang telah berlaku dengan peralatan yang digunakan.

“Ramai antara kamu yang tertanya-tanya mengapa kami terus membuat persembahan selepas insiden terbabit berlaku.

“Green Day sebenarnya tidak dimaklumkan dengan sebarang kemalangan hingga selepas persembahan tamat.

“Malah, kami langsung tidak tahu-menahu mengenai sebarang pertunjukan akrobat, festival ini begitu besar,” menurut kenyataan itu lagi.

Tetapi, band berkenaan memberitahu mereka diminta untuk menunda persembahan disebabkan “masalah keselamatan” yang tidak dijelaskan butirannya.

“Semuanya nampak normal. Penonton dan peminat terhibur. Kami turun dari pentas dan pergi ke kawasan artis ditempatkan. Dan di situlah kami diberitahu berita mengejutkan mengenai Pedro.

“Kami semua seakan tidak percaya. Kami juga tidak tahu mengapa pihak berkuasa memilih untuk tidak memaklumkan kejadian terbabit sebelum persembahan kami bermula.

“Jika kami mengetahui hal itu dari awal, kami mungkin tidak akan meneruskan langsung persembahan. Keselamatan adalah paling diutamakan di mana-mana konsert kami.

"Apa yang terjadi kepada Pedro adalah sesuatu tidak disangka-sangka,” katanya.

Penganjur festival berkenan turut meluahkan kekesalan mereka terhadap perkara yang berlaku.

“Demi keselamatan, festival akan diteruskan. Kami ucapkan takziah buat keluarganya,” menurut kenyataan itu.

Ini adalah tahun kedua Festival Mad Cool diadakan bagi meraikan peminat pop dan rock di Madrid. Antara nama-nama besar yang turut membuat persembahan di Mad Cool tahun ini adalah kumpulan seperti Foo Fighters, Kings of Leon, Manic Street Preachers dan Rancid.

Share