malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Spider-Man lepasi jangkaan box office
Diterbitkan:  Jul 10, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: 11:19 AM
ADS

Filem Spider-Man: Homecoming meraih kutipan sebanyak AS$117 juta selepas ditayangkan minggu ini, melepasi jangkaan box office antara AS$80 hingga AS$110 juta di utara Amerika.

Sony Pictures, yang memiliki hak bagi komik Marvel itu memberitahu, jumlah berkenaan adalah kedua terbesar dalam sejarah, selepas pencapaian diraih Spider-Man 3.

Angka berkenaan muncul ketika kutipan box office di Amerika Syarikat menurun 8 peratus pada musim panas.

Dalam Homecoming, watak alter ego Spiderman, Peter Parker dilakonkan oleh aktor British, Tom Holland perlu menyeimbangkan tanggungjawab antara sekolah dan kehidupan rahsia sebagai individu bertopeng yang mengambil tindakan sendiri ke atas penjenayah.

Peter bertemu Adrian Toomes, penjual senjata api - karakter dilakonkan Michael Keaton.

Menurut laman sesawang boxofficemojo.com, filem dengan peruntukan AS$175 juta itu sudah mencapai kutipan jualan AS$250 juta secara global.

Menurut laporan BBC, banyak usaha dicurahkan demi menjayakan aktiviti memperomosi dan ia turut mengetengahkan Iron Man, watak adiwira lakonan Robert Downey Jr yang menjadi mentor Spider-Man dalam filem ini.

Ini susulan perjanjian pada 2015 antara Sony dan Walt Disney yang membenarkan Spider-Man muncul di samping karakter Marvel lain di layar perak.

Tom adalah aktor ketiga memainkan watak Spider-Man dalam tempoh 15 tahun, yang sebelum itu dijayakan oleh Andrew Garfield dan Tobey Maguire.

Homecoming mencatat kejayaan walaupun musim panas box office di Amerika Utara dikatakan menjejaskan filem hebat seperti Transformers dan Despicable Me.

Secara keseluruhan, kutipan box office pada musim panas meraih AS$2.3 bilion, 8 peratus lebih rendah daripada tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kutipan dilihat setanding tahun lalu selepas filem seperti Beauty and the Beast dan The Fate of the Furious mencapai kejayaan dalam tempoh awal tahun ini.

Lihat Komen