malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie sampaikan lagu berlirik lunak di Kelantan
Diterbitkan:  Jul 10, 2017 1:56 PM
Dikemaskini: 6:24 AM
ADS

Nampaknya tidak ada apa-apa yang tidak kena pada pesembahan penyanyi rock terkenal Malaysia, Awie, di Kelantan baru-baru ini.

Selain ia tidak dibiayai oleh kerajaan negeri persembahan itu juga didakwa berlangsung selepas Awie dimaklumkan mengenai beberapa syarat ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Antara ketetapan yang dipastikan ialah Awie berpakaian kemas dan lagu yang dibawa membawa mesej ketuhanan serta liriknya lunak.

Pengarah program Minggu Motosikal Antarabangsa Kelantan, Ausri Hussin, berkata peminat mengeluarkan sendiri belanja melalui persatuan untuk menyertai program berkenaan.

“Cuma sebagai penyanyi, kita ada meminta dia (Awie) menyanyikan empat buah lagu sebagai pengubat rindu peminatnya di negeri ini,” katanya dipetik Harakahdaily.

Ausri yang juga pengerusi Darulnaim Bike berkata, Awie bersetuju untuk menyanyi.

Tambahan pula, katanya, artis terbabit sudah lama tidak membuat persembahan di Kelantan.

Dianggarkan seramai 10,000 orang membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam Sabtu untuk menyertai penutup program berkenaan, selain menyertai makan malam yang dianjurkan.

Patuh enakmen atau tidak

Sebelum ini kerajaan Kelantan mengumumkan Awie - atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman - mengetuai program menyertai program lawatan ke pondok tahfiz di Kelantan selama dua hari mulai 7 Julai.

Penyanyi Bernafas Dalam Lumpur itu turut dijadual menunaikan solat Isyak berjemaah serta makan malam bersama pemimpin kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmod, berkata program jelajah ke pondok bermula jam 9 pagi Sabtu.

Bagaimanapun pengkritik mempertikaikan kewajaran Kelantan - yang dipimpin PAS - mengadakan persembahan nyanyian itu.

Antara aspek yang dibangkitkan ialah, sama ada ia mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 atau tidak.

Pengarah Syariah Parti Amanah Negara (AMANAH), Zolkharnain Abidin, misalnya membangkitkan sama ada ia benar-benar mematuhi peruntukan dalam enakmen berkenaan atau sebaliknya.

"Ia bukan mengenai isu membantah Awie sebagai personaliti atau antihiburan," katanya di Facebook hari ini.

Ketua Biro Agama PKR, Wan Ji Wan Hussin, pula berkata sebelum ini ulama PAS sebelum ini menegur orang ramai yang membeli juadah berbuka puasa daripada peniaga yang tidak sembahyang atau menutup aurat.

"Kini, anjur konsert Awie, apa status pahalanya pula?" katanya.

Sementara itu Awie turut menafikan terdapat pembabitan artis wanita sepanjang persembahan berkenaan berlangsung.

Katanya, sudah 30 tahun dia tidak membuat persembahan nyanyian di Kelantan.

“Kali terakhir saya datang ke stadium ini sekitar tahun 1980-an,” ujarnya.

Awie menyampaikan empat buah lagu, Terima Kasih, Sayap Ilusi, Musafir Di Aidilfitri dan Ingatkan Dia.

Lihat Komen