malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Prime Domestic tak mahu tunggu lama
Diterbitkan:  Jul 1, 2017 2:39 PM
Dikemaskini: 6:50 AM
ADS

Album Primes Domestic yang sepatutnya berada di pasaran sejak semalam terpaksa ditangguhkan atas sebab tertentu.

Joe yang meninggalkan Wings tahun lalu untuk menubuhkan kumpulan rock baru itu berkata, peminat teruja sejak awal selepas mendapat tahu kelahiran album berkenaan dan telah membuat pesanan secara dalam talian.

“Kami faham peminat begitu teruja untuk memiliki album sulung Prime Domestic dan kami tak mahu membiarkan mereka ternanti-nanti begitu lama,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Selain Joe, Prime Domestic dianggotai Aweera (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainol (dram).

Lagu yang ditampilkan dalam album sulung mereka itu adalah hasil ciptaan sendiri dan sumbangan komposer terkenal Datuk M Nasir.

Tambah Joe, lagu Sedingin Pluto, Tekno Dewata dan Satukan Impian yang dirakamkan sebelum ini turut dirakam semula untuk kepuasan peminat.

“Sesiapa yang dapat single itu sangat bertuah kerana ia dianggap sebagai karya ‘masterpiece’. Apabila kami rakam semula lagu ini dalam bentuk baru, secara automatik ia dikira lain,” katanya.

Album yang diterbitkan Prime Domestic itu turut menjalani proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ di Sydney, Australia. Manakala promosi kemunculan album ini akan bermula pada 6 Ogos di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

“Ini adalah pembuka tirai dan selepas itu barulah ia akan berkembang ke utara, selatan dan seterusnya pantai timur.

“Tarikh untuk persembahan di Kuala Lumpur sudah dimuktamadkan, manakala lokasi lain dalam proses perbincangan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Joe mengakui selepas mengadakan persembahan sulung di House@GTower, Kuala Lumpur pada 2 April lalu, mereka didatangi tawaran untuk beraksi dalam konsert solo namun terpaksa ditolak.

“Ketika itu kami pun terlalu sibuk dengan rakaman album dan tak nak ambil risiko. Biarlah kami beraksi pada Ogos kerana sekurang-kurangnya peminat sudah tahu lagu Prime Domestic,” katanya yang menambah sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan.

Dalam pada itu, Joe gembira kerana muzik video Sedingin Pluto di YouTube sudah melebihi 100,000 tontonan.

“Kami menunggu lagu ini dimainkan di radio yang diharap dapat membantu menguatkan promosi lagu ini,” katanya.

Lihat Komen