malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Donut ke Karipap? tonjolkan mesej perpaduan
ADS

Setiap kali menjelang Aidilfitri,  iklan atau filem pendek Petronas tidak pernah mengecewakan dengan membawakan mesej sarat nilai dan kelainan yang ditonjolkannya berbanding iklan-iklan komersial lain.

Pada tahun ini, Petronas tampil dengan filem pendek 'Donut ke Karipap?' yang mengisahkan lima sahabat bersatu hati menahan lapar demi menunjukkan kebersamaan dengan salah seorang daripada mereka yang beragama Islam.

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman, idea kali menampilkan mesej perpaduan dalam masyarakat majmuk.

"Kami ketengahkan watak Hakim yang berdepan cabaran untuk berpuasa kerana kuat makan, kadang-kadang sampai tidak tahu nak pilih mana satu, sama ada donut atau karipap.

“Sebab itu kami wujudkan empat lagi kawan dia yang berlainan agama tetapi mereka turut sama-sama berpuasa semata-mata nak beri semangat kepada Hakim.

"Donut ke karipap? ingin tonjolkan mesej perpaduan, kesabaran, kesungguhan dan kerjasama antara masyarakat di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis tontonan filem pendek berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Selain perpaduan, filem pendek ini juga menyampaikan nilai murni yang lain seperti sikap bantu membantu dalam masyarakat.

Ingin beri kelainan

Pada satu babak, Hakim yang wataknya dibawakan Muzayyin Mahyuddin mempamerkan sikap bermurah hati dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan

Karipap ke Donut? dijayakan lima pelakon kanak-kanak yang sebelum ini turut memegang watak dalam lima filem pendek Petronas yang lain.

Tiga daripada filem pendek itu disiarkan pada Tahun Baru Cina 2017, Festival Gawai dan Keamatan.

Empat lagi pelakon yang turut menjayakan filem pendek ini adalah Mohammad Hamyzan Johan, Emille Jasmine, Sanjitha Devi Sri Vijayan dan Clement Eng Kai Yao. Karipap ke Donut mula ditayangkan menerusi laman web rasmi Petronas bermula semalam.

Berbanding tema syahdu dan emosi yang sering diketengahkan kebanyakan iklan pada musim perayaan, Petronas kali ini dilihat tampil berbeza.

Menurut Zahariah, pihaknya ingin memberikan kelainan kerana yakin masyarakat mahukan sesuatu yang baru.

“Orang ramai biasa akan ternanti-nanti iklan Petronas terutama menjelang sesebuah perayaan kerana pada kebiasannya kami bermain emosi untuk sampaikan sesuatu mesej.

“Kami dah buat ujikaji dan jalankan survey malah dapati ramai pula yang inginkan kelainan.

"Tetapi kami tetap cuba tonjolkan mesej perpaduan dan ini adalah berbeza daripada kisah-kisah sedih pernah dipaparkan. Bagi kami, mesej masih boleh disampaikan sama ada dengan mengetengahkan unsur sedih atau gembira,” katanya.

Lihat Komen