Rumah PPR, PR1MA untuk pengiat seni


(Dikemaskini )

Bagi meringankan beban para penggiat seni, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan Program Perumahan Rakyat (PPR) serta Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) kepada golongan berkenaan.

Menurut Najib, melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperuntukkan sebilangan rumah yang akan diberi kepada penggiat seni terutamanya golongan veteran dan tidak berkemampuan.

"Kita telah bersetuju untuk peruntukkan sebilangan rumah tertentu melalui PPR pada golongan seni terutamanya golongan veteran dan lama yang memerlukan kediaman.

"Saya juga bersedia untuk meminta PR1MA iaitu rumah mampu milik untuk golongan penggiat seni, budayawan, sasterawan. Dan ini juga boleh dipertimbangkan dari masa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama sasterawan, karyawan, seniman, budayawan dan penyiar di Seri Perdana Putrajaya.

Pakej umrah pada 25 individu

Selain itu, Najib turut mengumumkan akan memberi pakej umrah kepada 25 individu terpilih daripada golongan berkenaan untuk menunaikan umrah.

Katanya, pakej tersebut akan diberi keutamaan kepada penggiat yang belum pernah mengerjakan umrah dan kurang berkemampuan.

"Insha Allah penajaan ini akan diberi keutamaan pada mereka yang tak pernah kerjakan umrah dan kurang berkemampuan. Dan umrah akan dihantar selepas musim haji tahun ini.

"Ia sebagai tanda prihatin bahawa kerajaan ambil tahu kebajikan dan nasib golongan seni sempena kemuliaan bulan Ramadan," katanya lagi.

Pada Mei lalu, Najib di kediaman rasminya telah mengadakan program dialog Transformasi Nasional (TN50) khusus untuk golongan seni tanah air.

#}