malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ukays bakal keluar single terbaru
ADS

Peminat yang ternanti-nanti buah tangan terbaru dari Ukays boleh menghela nafas lega apabila mereka bakal dihiburkan dengan single kumpulan yang popular era 1990-an itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, menurut Ketua Kumpulan Amy, pihaknya masih tertunggu-tunggu masa yang dirasakan sesuai untuk melancarkan single berkenaan.

“Lagu baru sudah ada cuma kami tidak mempunyai masa untuk melancarkan dalam masa terdekat.

“Insyaallah, kami akan menguar-uarkan berita baik ini kepada peminat, mungkin selepas raya nanti,” katanya yang juga merangkap sebagai pemain gitar Ukays.

Amy juga berkata, Ukays bakal mengadakan persembahan di Jakarta, Singapura dan Sabah serta Sarawak bagi mengubat rindu peminat.

Amy atau nama sebenarnya Azmi Hassan, 43, ditemui pada majlis Iftar bersama artis veteran dan anak yatim anjuran Ritz Guarana Plantation Holdings Berhad baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan turut diadakan Program Guarana Bersama Rakyat iaitu projek yang menghulurkan bantuan kepada sekurang-kurang 60 artis veteran yang hadir.

Sementara itu, berkongsi kisah mengenai Program Guarana Bersama Rakyat, Amy berkata, dia menceburkan diri dengan syarikat terbabit sejak empat bulan lalu.

Amy adalah seorang daripada ahli lembaga pengarah dan pemegang saham dalam Ritz Guarana Plantation Holding.

Katanya, dia tergerak hati untuk membantu meringankan beban golongan miskin dan kurang upaya menerusi program dianjurkan.

“Orang ramai dijemput hadir ke tapak pesta di Pulau Pinang bersempena sambutan perayaan Aidilfitri pada 16 Julai depan.

“Kami bukan saja membuat persembahan tetapi pada masa sama ingin membantu rakyat mengalami transformasi ekonomi baru.

“Malah hal ini juga boleh membantu rakyat untuk pergi jauh ke hadapan dan berada pada kedudukan lebih selesa,” katanya.

Lihat Komen