Lindsay Lohan berbuka bersama Maher Zain

(Dikemaskini )

Artis antarabangsa yang sering dihimpit pelbagai kontroversi sebelum ini, Lindsay Lohan kelihatan hadir ke majlis berbuka puasa anjuran penyanyi terkenal, Maher Zain di London, beberapa hari yang lalu.

Lindsay yang tidak mengenakan tudung atau menutup kepalanya hadir pada majlis yang diadakan sempena projek One Family Global itu bertemakan Iftar at The Savoy.

Memetik laporan yang disiarkan oleh astrogempak.com.my, Lindsay yang memulakan kerier seninya seawal tiga tahun itu turut berucap di hadapan tetamu lain mengenai isu perdagangan manusia.

Lindsay yang kini berusia 31 tahun pernah mengakui bahawa hatinya menjadi lebih tenang ketika mendengar bacaan ayat suci Al-Quran dan selain berpuasa selama tiga hari sewaktu bulan Ramadan.

Terdahulu, pelbagai spekulasi tercetus apabila imej Lindsay berjalan sambil memegang al-Quran menjadi tular di Internet dengan tindakan itu mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik status pada akaun Instagram dengan menulis perkataan: “Alaikumsalam.”

Sementara itu, Maher Zain turut re-tweet dan re-post status dan foto di Twiiter dan IG tetamu yang menghadiri majlis tersebut yang mana rata-ratanya menampilkan foto-foto Lindsay Lohan di acara tersebut.

Bagaimanapun penyanyi yang berasal dari Sweden dan terkenal di Malaysia menerusi album Thank You Allah dan Forgive Me tidak memberi sebarang komen mengenai kehadiran bintang Hollywood itu.


Artikel berkaitan

Share