Model sindrom down pun berbakat gayakan baju raya

(Dikemaskini )

Sekali imbas, model koleksi baju Aidilfitri Butik Maqilla nampak biasa-biasa saja. Tetapi sekiranya diperhati lebih dekat, ternyata terdapat kelainan.

Maqilla mengambil pendekatan yang jauh berbeza, malah tampil berani dengan menggunakan model sindrom down bagi mempromosi busana baju raya tahun ini.

“Setiap lakaran senyuman, kegembiraan dan kasih sayang amat penting bagi kami di Butik Maqilla,” menurut kenyataan dimuat naik pada Instagram.

Dua individu kelainan upaya yang diberi kepercayaan untuk memperagakan koleksi Maqilla itu adalah Khoh Hui Qi dan Siti Marina Frohlich.

Untuk makluman, Siti adalah seorang atlet paralimpik negara.

Maqilla berhasrat untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit sindrom down dalam masyarakat dan pada masa sama menyebarkan mesej yang golongan itu juga memiliki kecantikan tersendiri.

Bertepatan dengan tema “Kamu cantik dalam cara tersendiri”, pemilihan Hui Qui dan Siti itu sebenarnya untuk menjayakan kempen bersama Persatuan Sindrom Down Malaysia.

“Bersama kita raikan Aidilfitri ini bersama Persatuan Sindrom Down Malaysia. RM10 akan disalurkan apabila anda membeli koleksi raya #MaqillaBasic.

“Mari tingkatkan tahap kesedaran terhadap komuniti Sindrom Down dan didik antara satu sama lain yang kita semua cantik dalam cara tersendiri.

“Tiada apa yang lebih baik daripada memberikan sumbangan dan melakukan perubahan kepada orang di sekeliling kita, Insya-Allah...,” menurut kenyataan itu lagi.

Kempen berkenaan yang menjadi tular di media sosial setakat ini dilihat mendapat respon positif malah kebanyakan pengguna maya memuji usaha dilakukan.

#}