malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasib Nhaveen dapat perhatian AR Rahman
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: Jun 16, 2017 4:28 AM
ADS

Kisah kekejaman terhadap remaja 18 tahun Nhaveen Thirumaran mendapat perhatian seorang ikon muzik yang berada ribuan batu jauhnya.

Komposer tersohor India, AR Rahman berkata beliau kesal dengan kejadian malang menimpa remaja itu dan mendoakannya agar cepat sembuh.

"Kepada Nhaveen, dengan kasih dan doa semoga cepat sembuh. Marilah akhiri semua keburukan ini dan orang-orang jadi waras," katanya menerusi Twitter.

Malangnya Nhaveen meninggal dunia kira-kira sejam selepas pemuzik itu menulis doanya di alam maya.

Ketika berita ini ditulis, perkara itu mungkin tidak disedari AR Rahman.

Terdahulu, pemenang Oscar itu berkongsi laporan sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan kisah Nhaveen berhasrat untuk menjadi komposer sepertinya.

AR Rahman, 49, bukan sahaja terkenal di India tetapi juga di seluruh dunia. Beliau malah pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy dan Golden Globe.

Menurut ibu saudaranya, Navheen sepatutnya pergi ke Kuala Lumpur untuk mendaftar di sebuah kolej dalam kursus menggubah lagu pada 12 Jun lalu.

“Dia sukakan muzik. Dia bekerja sebagai promoter lepas SPM untuk mengumpul duit bagi menyambung pelajarannya di KL,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Mati otak

Nhaveen yang didakwa diseksa sekumpulan pemuda sehingga ke tahap mati otak Jumaat lalu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, Nhaveen menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6 petang di wad ICU.

“Kami terima panggilan dari pondok hospital maklum kematian Nhaveen pada jam 6 petang,” kata Anuar.

Rakannya, T Previin, yang berusia 19 tahun sedang dirawat untuk kecederaan muka yang dialami pada kejadian sama lewat malam Jumaat.

Mereka dilaporkan bekerja sebagai promoter di pakaian lelaki di sebuah pusat beli belah di Bayan Lepas selepas SPM.

Sebelum ini, menurut Previin, Nhaveen diserang enam lelaki yang memukulnya berulang kali dengan topi keledar, sebelum membawanya ke padang berhampiran rumahnya di Taman Tun Sardon, Gelugor.

Beliau dikatakan terus menyerang dan menderanya dengan teruk.

Doktor yang merawatnya berkata dubur Nhaveen juga koyak teruk mungkin disebabkan tusukan objek tumpul.

Previin pula cedera parah apabila tulang pipinya hancur akibat serangan tersebut.

Susulan kejadian itu, polis Pulau Pinang menahan lima suspek yang berusia antara 16 dan 18 tahun.

Lihat Komen