XPDC contohi nabi, nak kembara ke Eropah


(Dikemaskini )

Meneladani perbuatan Nabi Muhammad melakukan ziarah kepada saudara muslim mencetuskan idea bagi kumpulan XPDC untuk menjayakan program Kembara XPDC Ke Bumi Eropah, Oktober depan.

Menurut Ali selaku vokalis kumpulan itu, usaha tersebut adalah bagi mengetahui kehidupan dijalani masyarakat muslim, khususnya warganegara Malaysia yang menetap di sana.

“Usaha ziarah ini sama seperti dilakukan oleh nabi dan para sahabat, justeru kami cuba menyebarkan perkara sama.

“Target kami adalah untuk menziarahi masyarakat kita di sana. Tujuannya untuk mengetahui dan menyelidik bagaimana Islam diamalkan, antaranya cara solat dan cara mendapatkan makanan halal," kata Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 48.

Bagaimana pun, program kembara dan ziarah itu tidak hanya dihadkan kepada semata-mata masyarakat Islam, tetapi juga penganut agama lain.

“Ini bukan kerja senang, tetapi kami gunakan populariti supaya orang tempatan mengenali kami, diharap tiada masalah untuk meneruskan program yang dirancang,” kata Ali.

Hadir sama pada sidang media mengumumkan perkara itu semalam adalah tiga lagi anggota XPDC iaitu Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram).

Selain XPDC, turut menyertai kembara itu adalah Shamsul Ghau Ghau yang telah dipilih sebagai hos dan akan mengendalikan program berkenaan.

Program kembara ini akan dirakamkan dalam bentuk travelog sebanyak 13 episod dan disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tanah air.

Dalam perancangan, program itu akan menjejakkan kaki ke beberapa tempat di Eropah seperti Jerman, Amsterdam, Paris, London, Manchester, Liverpool dan Dublin.

Di samping berdakwah, XPDC turut berharap dapat menghiburkan peminat menerusi album baru mereka yang mengandungi 10 lagu dan kini hampir berjaya disiapkan sepenuhnya.

Namun, sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di luar negara, Ali berkata program kembara itu akan dimulakan terlebih dahulu di Sabah dan Sarawak.

Katanya, cabaran berdakwah di tanah air tidak kurang hebatnya memandangkan pengaruh negatif yang dihadapi umat Islam pada masa kini.

"Dahulu kami buat konsert kerana material, jumpa peminat dan hanya ingin bawa balik duit selepas habis persembahan.

"Tetapi kali ini kami ingin jalin ukhwah dan meningkatkan jatidiri Islam yang dikhabarkan jauh ketinggalan,” katanya.


Artikel berkaitan

Share