malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hamba Allah bantu Azmil bina pusat lanjutan tahfiz
ADS

Hasrat pelakon veteran, Azmil Mustapha yang kini sudah berhijrah sebagai penceramah agama untuk membuka pusat pendidikan lanjutan tahfiz, akhirnya bakal terlaksana.

Katanya, perancangan yang bermula Oktober tahun lepas itu dipermudahkan apabila hadir seorang hamba Allah yang datang membeli sebidang tanah di Mantin, Negeri Sembilan.

“Tapak itu dah dapat, InshaAllah, sekarang saya masih menunggu untuk pemprosesan geran dan tukar nama. Mudah-mudahan berjalan lancar.

“Ada orang dari Australia yang saya tidak kenal dan tidak pernah jumpa belikan tanah sebanyak 20 ekar. Alhamdulillah Allah SWT bukakan pintu hatinya,” katanya.

Azmil, 64, ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran sebuah firma di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak yatim dan artis veteran.

Menurut aktor yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Ali Setan itu, niatnya mendirikan pusat berkenaan adalah untuk meningkatkan tahap kemahiran seseorang pelajar tahfiz.

Katanya, kebanjiran pelajar tahfiz yang tamat pengajian, kini menyukarkan mereka ditawarkan pekerjaan akibat peluang yang terhad.

“Rata-rata kemahiran pelajar tahfiz dibazirkan apabila mereka keluar (tamat belajar) kerana yang jadi imam sedikit, dan yang lain pula bekerja di kedai runcit.

"Mereka tidak ada kerja, itu sebab kita nak tingkatkan ilmu mereka untuk diterapkan dalam dunia moden. Pada masa sama, saya juga boleh menerapkan ilmu lain seperti bidang perfileman kepada mereka atau sebagainya,” katanya.

Menurut pelakon yang namanya melonjak menerusi filem Mekanik (1983) itu, keutamaan diberikan kepada pelajar lelaki (hafiz) dan kemudian barulah wanita (hafizah).

Semakin sembuh

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai tahap kesihatannya, Azmil berkata, dia kini semakin pulih selepas dimasukkan ke hospital awal tahun lepas ekoran jantung tidak berfungsi secara normal.

Azmil pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2010.

Menurutnya, dia sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan bagi memastikan perjalanan darah dan jantungnya berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah dah semakin sembuh, sekarang dah sihat dan boleh menjalani kegiatan seperti biasa.

“Dulu doktor tidak membenarkan saya melakukan aktiviti ceramah tetapi saya katakan kepadanya kalau nak mati pun baik saya mati ketika memberi ceramah.

“Doktor juga menghalang saya dari mengerjakan umrah, tetapi saya baik-baik saja dan baru pulang dari mengerjakan ibadah itu tiga empat bulan lepas,” katanya.

Lihat Komen