malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Makcik-makcik lebih hargai saya - Zul Ariffin
ADS

Permintaan peminat untuk bergambar bersama merupakan perkara biasa bagi seseorang selebriti.

Namun bagi Zul Ariffin, ajakan bergambar paling istimewa diterimanya adalah daripada golongan wanita yang telah berumur.

Menyifatkan keletah seumpama itu sebagai 'comel', Zul Ariffin berpendapat peminat yang dikategorikan sebagai makcik sebenarnya lebih jujur dalam menilai kerja yang dihasilkan.

"Seseorang makcik yang minta bergambar itu 'cute'. Dulu saya sukar dapat perhatian dalam kalangan peminat lebih tua.

"Mereka jenis individu yang tidak menghakimi sesuatu lakonan, tidak perlu menyertai kelab peminat dan hanya berminat mahu menonton sesebuah cerita.

“Minat mereka itu berpunca daripada produk yang kita hasilkan, tiada kena mengena dengan peribadi dan kita hargai orang yang menghargai kerja kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, bukan golongan makcik sahaja meminati lakonan Zul, atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin, 30.  

Malah tidak kurang golongan lelaki berumur turut menjadi peminat tegar kepada pelakon berkenaan.

Bagi Zul Ariffin, perkara itu mungkin disebabkan kejayaan memegang beberapa watak utama seperti dalam drama Rindu Awak 200% dan filem J Revolusi.

Sementara itu, pelakon kacukan Melayu dan Belanda itu mengimbau kembali zaman awalnya sebelum bertapak dalam dunia hiburan, apabila banyak dugaan ditempuhi sebelum diberi kepercayaan memegang teraju utama.

Malah, dia perlu melalui sekurang-kurang tujuh tahun sebelum menikmati peluang seumpama itu berbanding pelakon baru pada masa kini.

“Pelakon baru sekarang amat mudah dapat peluang, baru setahun dua berlakon dah diberi peranan utama dan kemudian mereka dapat lagi selepas itu.

"Sebab itu saya hargai sesebuah tawaran sebab saya pula susah dapat peluang seperti itu dulu,” katanya yang mengakui kini lebih selesa memilih peranan utama dalam satu-satu naskhah ditawarkan.

Buat pelakon baru, Zul memberikan pesanan agar mereka sentiasa bekerja keras dalam bidang lakonan yang diceburi.

“Saya harap pelakon baru tahu cara hendak mengekalkan rentak sebagai pelakon dan jangan terlalu mengejar populariti," katanya.

 

Lihat Komen