malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans Isaac tak jadi saman bekas kekasih tunang
ADS

Walaupun mengaku terkesan dengan tindakan bekas kekasih tunangnya, Datuk Hans Isaac tetap membuat keputusan menarik semula saman fitnah yang difailkannya sebelum ini.

Menurut pengarah, pelakon dan penerbit itu jika diikutkan hati dia memang mahu meneruskan niat menyaman Robin Coenraad, namun apabila difikirkan dengan lebih jauh, lebih baik isu berkenaan tidak dipanjangkan.

Antara lain Hans tidak mahu tunangnya, Aileen Gabriella Robinson, teus tertekan.

Kata Hans, Gabrielle menangis siang dan malam kerana terasa bersalah seperti telah mencalarkan imej lelaki yang bakal dikahwini.

“Secara peribadi, saya memang ingin membawa kes ini ke mahkamah tetapi Gabby (Gabrielle) tidak mahu memanjangkan lagi hal itu.

“Saya pun berpendapat, baiklah, tidak perlu memanjangkan hal ini, kalau orang hendak kacau kita, kita perlu kuat, bersatu dan cuba perbaiki masalah bersama.

“Tetapi benda itu saya rasa damaging (merosakkan) sungguh biar pun betul atau salah, masyarakat tidak perlu buat perkara sebegitu kepada orang lain,” katanya.

Tetap terus tahun ini

Hans, 45, ditemui pada pada majlis tayangan program raya Astro di Kuala Lumpur semalam.

Pada Mac lalu, sehari selepas Hans dan Gabrielle mengumumkan tarikh perkahwinan, Robin didakwa menabur fitnah mengenai wanita berkenaan di media sosial.

Selain itu, Robin turut mendakwa ditipu lebih setahun apabila menjalin cinta dengan Miss Tourism International Malaysia (2011) itu.

Bagaimanapun, pelakon filem J Revolusi itu menganggap konflik yang timbul sebagai dugaan dalam menempuh fasa bertunang.

“Ya, saya anggap ia sebagai dugaan, malah terkejut dengan kenyataan dibuat olehnya (Robinson).

“Tetapi dia sudah teruskan hidup, dan saya anggap sudah tutup cerita, semua selesai,” katanya.

Sementara itu, Hans memberitahu perkahwinannya dengan Gabrielle yang sepatutnya berlangsung pada 29 Julai depan terpaksa dipinda ke suatu tarikh hingga dimaklumkan kerana bapa tunangnya tidak dapat menghadirkan diri.

“Bakal bapa mentua saya tidak dapat pulang ke Malaysia kerana pada tarikh dimaklumkan dia masih terikat dengan kerja di Austria.

“Ini memang silap saya kerana tidak berbincang terlebih dahulu tarikh diinginkan dengan keluarga Gabby. Saya ingatkan hendak buat kejutan.

“Apa pun, majlis tetap akan diteruskan pada tahun ini kerana telah membuat deposit dewan dan 70 peratus persiapan telah dilakukan,” katanya.

Hans dalam pada itu menjelaskan dia menolak untuk menerima mana-mana tajaan perkahwinan kerana selesa membiayai kesemua kos sendiri.

Katanya, dia tidak mahu menyusahkan sesiapa dalam menguruskan hal peribadi.

“Tiada penaja, kosong.

“Biarlah saya uruskan persiapan semua sendiri saja. Selama ini saya sudah kerja kuat dan mempersiapkan diri untuk hal seperti ini,” katanya.

Lihat Komen