malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cruise pernah ketakutan kerana The Mummy
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 3:55 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

Filem asal The Mummy pernah membuatkan aktor Tom Cruise menjadi seorang penakut semasa kecil hingga terpaksa tidur di lantai bilik adik beradik perempuannya.

Beberapa dekad kemudian, bintang Hollywood itu menunjukkan sebaliknya apabila dia berjaya mengatasi ketakutan itu.

Cruise mencabar dirinya dengan menerima tawaran sebagai watak utama dalam penghasilan semula kisah fantasi seram itu.

“Saya masih ingat ketika berusia enam tahun dan menonton filem 1930-an itu di televisyen.

“Ketiga-tiga adik perempuan saya tidur dalam bilik yang sama. Sebagai lelaki saya mempunyai bilik tidur berasingan.

“Tetapi kemudian, saya akan menyelinap ke bilik mereka dan tidur di atas lantai. Saya benar-benar ketakutan,” kata pelakon Mission Impossible itu.

The Mummy 1932 diarahkan Karl Freund menyaksikan Boris Karloff membawakan watak Imhotep yang memiliki keabadian.

Banyak buat latihan

Imhotep sering mengendap seorang wanita yang dipercayai adalah kekasihnya Ankh-es-en-amon (Zita Johann).

Untuk The Mummy 2017, Cruise akan memainkan karakter sebagai askar, Nick Morton, yang secara tidak sengaja telah membangkitkan Ahmanet (Sofia Boutella) semasa menggali artifak lama di Iraq.

Filem penuh aksi itu bakal menyaksikan Cruise memaparkan aksi lagak ngeri termasuk babak nahas pesawat.

Untuk rekod, Cruise adalah pelakon yang sering melakukan lagak aksi ngeri sendiri.

Antara aksi pernah dilakukannya adalah dalam filem seperti Jack Reacher, Knight and Day, Collateral, Mission Impossible: 2 dan Edge of Tomorrow.

Ditanya sama ada filem berkenaan mampu meraih kejayaan tersendiri selepas lebih 30 tahun berlalu, Cruise berkata dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

“Pasti kamu akan mendapati ia hebat, tetapi saya sudah bersedia.

“Untuk lagak ngeri saya tidak membuat ia secara berturutan. Saya amat berhati-hati dan selalu melakukan latihan,” katanya.

Menceritakan mengenai nahas babak berkenaan, bekas suami Katie Holmes itu berkata ia akan dilakukan supaya nampak benar-benar berlaku.

“Kami bercadang untuk membina set di dalam pesawat dan merakam insiden itu dari dalam supaya ia benar-benar kelihatan terapung-apung.

“Beberapa anggota kru turut mengalami kecederaan teruk ketika merakamkan aksi berkenaan,” katanya.

Lihat Komen