malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
IS ancam bunuh pelakon Kuwait
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 8:12 AM
ADS

Pelakon wanita kelahiran Kuwait, Mona Shaddad mengaku menerima ancaman bunuh daripada kumpulan pengganas IS selepas berlakon dalam drama Black Crows yang diilhamkan daripada kisah sebenar.

Black Crows mengisahkan seorang wanita (lakonan Mona) yang menawarkan diri untuk berkhidmat dengan IS di Iraq dengan tujuan mengahwini salah seorang anggota kumpulan terbabit.

Mona berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri itu bagi mendedahkan realiti sebenar kekejaman IS.

“Peranan saya mainkan sangat penting kerana ia menggambarkan betapa mudah otak seseorang dicuci untuk menyertai kelompok ekstremis hanya berpaksikan janji manis, padahal kenyataannya tidak.

“Motif dan tujuan utama saya bergabung dengan projek ini adalah supaya ia boleh mengubah persepsi dan menggambarkan kebrutalan IS,” katanya seperti dilapor Al Arabiya.

Walaupun diugut bunuh, Mona berkata dia tidak gentar kerana yakin dengan kuasa Tuhan selain pembikinan drama bersiri itu mendapat sokongan pihak berkuasa.

“Terakhir, tujuan saya di sini adalah untuk menghancurkan IS dengan bakat saya miliki untuk menunjukkan siapa sebenarnya mereka,” katanya.

Salah satu kekejaman yang ditonjolkan dalam drama empat episod itu adalah perbuatan IS memperalatkan anak muda untuk menghasilkan dan menjual dadah.

Selain itu, turut dipaparkan serangan dan penderaan seksual yang dilakukan anggota IS terhadap wanita dan kanak-kanak.

Menurut pengarah MBC Group, Ali Jaber, dia tidak terkejut sekiranya karyanya mencetuskan kemarahan kumpulan pengganas itu.

“Orang IS tidak perlu alasan untuk menyerang MBC kerana kehadiran kami di sini sebagai suara dari dunia Arab yang amat bertentangan dengan kehadiran mereka,” katanya.

Lihat Komen