malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Vin Diesel anggap puasa amalan amat baik
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 1:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM
ADS

Jika di negara ini kadang-kadang Ramadan dilihat seolah-olah hak eksklusif Muslim saja, di negara lain bulan suci dalam kalendar orang Islam itu turut diraikan dengan bebas oleh semua.

Tidak terkecuali pelakon popular Hollywood.

Antaranya ialah bintang filem aksi, Vin Diesel, yang memberikan kata-kata semangat kepada umat Islam di seluruh dunia yang kini mengerjakan ibadah puasa.

Bukan hanya itu, ada kemungkinan pelakon filem Fast And Furious itu turut sama menahan dirinya daripada lapar dan dahaga.

Diesel dilihat berkata demikian menerusi satu klip video dikongsikan seorang artis hip hop Karim Kharbouch atau lebih dikenali sebagai French Montana.

“Kami sedang melakukan satu lagi sesi kreatif, ianya betul-betul sebelum berlaku Ramadan.

“Saya amat berbangga adik saya (French Montana) akan mengerjakan (puasa) Ramadan.

“Dan mungkin juga saya akan terpengaruh untuk berbuat demikian,” katanya sambil ketawa.

Namun, sejauh mana kesungguhan Diesel untuk berpuasa hingga kini tidak dapat dipastikan.

Menurut aktor berbadan kekar itu lagi, konsep berpuasa dalam bulan Ramadan memberikan inspirasi buatnya, malahan menganggap ia satu kaedah penting buat sesiapa yang ingin memahami makna berdisiplin.

“Konsep ini (Ramadan) amat hebat dan mungkin amat bagus untuk sesiapa yang berpeluang untuk mengalami disiplin seperti itu untuk tempoh seharian.

“Ia mungkin boleh membantu menyegar dan memulihkan tubuh badan,” katanya.

 

 

🙏 with my brother @vindiesel 1st day of Ramadan 🙌🙏🌊

A post shared by French Montana (@frenchmontana) on

 

Sementara itu, Montana, 32, berkata dia akan cuba sedaya upaya untuk meyakinkan 'abangnya' itu untuk bersama-sama mengikuti perjalanan kerohanian dan mengucapkan seluruh umat Islam diberkati.

“Ya, saya cuba memastikan abang juga akan berpuasa pada Ramadan dengan saya. Ramadan Mubarak,” katanya.

Montana ialah artis hip hop terkenal AS tetapi dilahirkan di Rabat, Maghribi.

Dia berhijrah ke AS bersama keluargnya ketika berusia 13 tahun.

Lihat Komen