malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mengapa Pak Samad memilih jadi hamba?
ADS

ULASAN | Apabila Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyebut beliau bersedia menjadi hamba kepada DAP, maka ada yang membacanya terlalu cepat membuat kesimpulan tentang makna "hamba"

Memang dalam berita Pak Samad ada mengeluarkan kenyataan bahawa “saya bersedia jadi hamba, bukan jadi pemimpin” dan “terpulang kepada parti, sebab saya jadi hamba kepada parti”.

Dua frasa kata Pak Samad itu kalau dibaca selapis akan membawa seseorang tersimpang jauh daripada maknanya.

Sebelum memahami tulisan seseorang, pembaca perlu juga mengetahui latar belakang penulis.

Jika tidak, pembaca mentafsir apa yang ada dengan fikirannya sendiri menerawang mencari-cari kesalahan dalam pada setiap tulisan.

Sedaya upaya saya mengajak pembaca berlaku adil pada sesama insan. Usahlah kebencian memusnahkan kebijaksanaan.

Begini sajalah kawan, biar saya terangkan. Istilah "hamba" yang digunakan oleh Pak Samad adalah istilah kebudayaan sosial Melayu dan lebih bersifat sastera, serta bukan merujuk makna kamus DBP. Ini yang saya katakan sebelum ini, antara kita berbeza bahasa.
Bahasa tuan bahasa kuih lopes
Bahasa hamba bahasa kuih lapis
Fikiran tuan hanya selapis
Sedang hamba fikir berlapis-lapis.

Mengikut kamus DBP, dalam konteks ganti nama diri, "hamba" bersinonim dengan pacal, patik, beta, saya, aku, ana dan tuanku. Makna kedua pula ialah orang suruhan: sahaya, abdi, khadam, orang gaji, orang bawahan, kuli, babu, budak belian, pengikut, penolong, pacal, pecacal, ulum, dayang, budak tebusan dan beti-beti.

Orang yang memiliki pemikiran selapis, akan merujuk makna yang disebut dalam Kamus DBP.

Dalam budaya Melayu, masyarakat terbahagi dua kelas: pemerintah serta pembesar, dan rakyat bawahan dan hamba.

Ini sudah diulas oleh John Gullick, J Kennedy, Frank Swettenham dan lain-lain. Jika enggan merujuk pemikiran orentalis, ambil saja pandangan Buya Hamka dalam novelnya Tenggelamnya Kapal van der Wijk atau tonton saja filem Antara Dua Darjat dan Penarek Becha arahan seniman agung Tan Sri P Ramlee.

Pak Samad memilih istilah "hamba" lebih merujuk kepada takrif sosio-budaya Melayu. Lihatlah acara rasmi, si pemimpin berada di pentas khas yang gah, manakala rakyat biasa di khemah yang sendat dan hangat.

Dalam hal ini, Pak Samad secara seni meletakkan dirinya untuk berada di khemah yang sendat dengan orang ramai itu.

Tajamkan fikiran, tingkatkan kreativiti

Dalam sastera, penggunaan metafora bagi menggambarkan kekuatan makna adalah antara pendekatan bayak diambil penulis.

Tambahan pula Pak Samad sangat halus menulis. Beliau menyatakan kesangggupan menjadi "hamba" berbanding "pemimpin"

Frasa ini memberi makna dalam politik Malaysia hanya ada dua kelompok: hamba dan pemimpin. "Hamba" di sini membawa maksud dalam kamus DBP sebagai pengikut, penyokong atau pekerja.

Usahkan dua kali Pak Samad menyebut beliau mahu jadi "hamba" kepada parti, 10 kali disebut pun ia tetap memberi makna pengikut, penyokong atau pekerja kepada parti yang dianggotainya.

Inilah untungnya belajar sastera. Noam Chomsky memang tidak masukkan penjenisan bahasa kepada bahasa sastera. Beliau hanya sebut bahasa mengikut kamus dan bahasa yang doktrinikal.

Sayangnya, ada sarjana yang kurang membaca novel sastera berfikiran tinggi atau puisi kabur. Sesekali seorang sarjana perlu membaca novel sebegini untuk menajamkan pemikiran dan meningkatkan daya kreativiti.

Orang Kelantan tentu biasa membahasakan diri mereka sebagai "ambo" yang merupakan singkatan daripada perkataan "hamba".

Istilah hamba di sini sekali lagi menjadi cerminan budi bahasa orang Melayu yang gemar merendah diri. Istilah "hamba" mempamerkan kerendahan hati.

Bangsa kaya mengata

Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi; jangan ikut resmi lalang, semakin tidak berisi, semakin menegak. Sebagai orang Melayu tidak rugi kita merendah diri kerana:
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi, kita merasa.

Pak Samad memilih istilah "hamba" untuk mempamerkan keselesaannya sebagai pengikut dan bukan mahu jadi pemimpin.

Bukankah kita hidup pada zaman hampir semua orang mahu jadi pemimpin? Zaman demokrasi. Zaman kuasa rakyat. Zaman rakyat berasa diri mereka berkuasa. Yang berilmu sedikit memperbodoh-bodohkan orang lain. Yang berharta sedikit kedekut pada si miskin. Yang beragama sedikit dineraka-nerakakan yang jahil. Yang berkuasa sedikit sombong melangit.

Masing-masing mendakwa diri merekalah yang layak memimpin. Bertelingkahlah sesama mereka yang kononnya disebut sebagai pemimpin di tanah sekangkang kera. Sedangkan "hamba-hamba" di bawah menanti keindahan dan kedamaian yang hilang.

Bidalan orang tua-tua kita dicipta dengan seribu satu asam garam kehidupan. Usia kita seumur jagung usah berlagak sombong dan angkuh.

Apatah lagi dengan Pak Samad yang seusia datuk kita. Saya tentunya kecewa sekali kalau kita menjadi bangsa yang kaya mengata, mengutuk atau menghukum.

Jadilah bangsa yang maju dengan mengajar bangsa berbahasa. Jadilah bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi. Jangan berfikir pandir dan lurus bendul. Ingat pesan lama:
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Saya tentu sekali boleh menulis lebih ringkas dan direct to the point tetapi saya lebih memilih menulis dengan cara mengajak pembaca berfikir.

Saya hargai kebijaksanaan pembaca yang sabar dan tulus pembaca wacana ini. Kerana di situlah titik pertemuan makna sebuah karangan. Berbahasalah yang indah-indah, sahabat sekalian.

Sasterawan Negara bukan hamba tetapi beliau adalah pujangga!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan penulis buku serta esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen