malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Remaja perempuan wajar raikan sakti Wonder Woman
Diterbitkan:  May 31, 2017 2:42 PM
Dikemaskini: 6:46 AM
ADS

Pengarah Wonder Woman, Patty Jenkins mendedahkan dia tidak mempunyai sebarang rancangan mengubah kategori filem itu kecuali untuk PG-13.

Alasan Patty, dia mahu filem aksi dan fiksyen itu bersifat mesra kanak-kanak.

Patty menjelaskan filem keempat DC Extended Universe itu perlu dikategori sebagai PG-13 kerana dia beranggapan penting untuk kanak-kanak perempuan menyaksikan keberanian watak utamanya, Diana.

“Saya memang mahu filem berkenaan tidak dikelaskan sebagai R. Saya memang menyokong ada filem yang dikategorikan sebagai R, tetapi dalam hal ini, saya menyedari ada ramai kanak-kanak perempuan yang ingin menyaksikan filem itu.

“Justeru, ia tidak harus dikelaskan sebagai R pada pandangan saya. Mungkin saya akan gembira sekiranya ia dikelaskan PG, tetapi filem itu mengenai Perang Dunia I, jadi kami tidak boleh berbuat demikian,” katanya seperti dilapor Cinema Blend.

Pengelasan PG-13 bermaksud sesebuah filem itu tidak boleh ditonton sesiapa yang berusia kurang daripada 13 tahun kecuali dengan bimbingan orang dewasa.

Biasanya filem begitu mengandungi babak berunsur seram, ngeri, negatif atau mengejutkan namun pada kadar terkawal.

Ada babak ekstrem

Kategori R pula merujuk kepada filem yang hanya boleh ditonton oleh seseorang berusia lebih 18 tahun kecuali mendapat bimbingan orang dewasa.

Filem adaptasi daripada komik dikategorikan sebagai R semakin menjadi trend di Hollywood. Walaupun di atas kertas ia mungkin mengehadkan jumlah penonton namun pada realitinya filem seumpama itu mencatat kejayaan besar.

Deadpool dan Logan adalah antara filem yang berjaya di peringkat antarabangsa walaupun dikelaskan sebagai R.

Bagaimanapun, Patty tidak berpendapat begitu untuk filem diarahkannya itu, malah berasakan pilihan terbaik untuk Wonder Woman ialah membiarkan kanak-kanak menjadi penonton.

Bagi Patty, kanak-kanak perempuan bakal menikmati pengalaman hebat apabila berpeluang bersorak untuk seorang adiwira wanita di layar perak.

Dan katanya tidak masuk akal untuk meletakkan sempadan terhadap perkara sedemikian.

Namun, dia mengakui Wonder Woman menayangkan beberapa babak ekstrem namun ia bagi memastikan naskhah berkenaan dapat menggambarkan kisah Perang Dunia I dengan lebih realistik.

Gal Gadot membawakan watak Diana, seorang puteri berasal dari Amazon yang mempunyai kehidupan abadi - berusia 5,000 tahun.

Pada awal abad ke-21, Diana yang menetap di Pulau Themyscira bertemu seorang juruterbang AS Steve Trevor (Chris Pine) ketika pemuda itu dihanyutkan ke pantai.

Selepas mengetahui kejadian Perang Dunia I dari Trevor, Diana meninggalkan kediamannya dan pergi ke London untuk menamatkan peperangan berkenaan.

Lihat Komen