malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tanpa kerja amal dan kemanusiaan hati Faizal terusik
ADS

Giat mengambil bahagian sebagai aktivis kemanusiaan atau kerja amal di luar negara, penyanyi Faizal Tahir berharap orang ramai tidak menyalah tafsir tindakannya itu.

Bersedia dengan kemungkinan ada pihak menuduh dia seolah-olah lebih rela 'menyusukan kera di hutan' berbanding 'anak di rumah', Faizal menyatakan usahanya itu sebenarnya tidak mengabaikan keperluan di negara ini.

“Mungkin ada yang bertanya, mengapa saya lebih menjurus berkhidmat di luar negara sedangkan keadaan di tempat sendiri pun banyak masalah.

"Sebenarnya di dalam negara pun ada juga usaha yang saya buat.

“Bagi saya, apa yang penting ialah kita melakukan kebaikan setiap kali ada peluang, apa lagi kalau dah ada di depan mata,” katanya kepada Malaysiakini.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi Assalamualaikum itu berkata, usaha membantu golongan tertindas digerakkan pertubuhan diasaskannya pada 2016, iaitu I Am Faith Men.

Menurut bapa kepada enam anak itu, yang terbaru kerja amal dibuat pertubuhan amal berkenaan ialah menggunakan poskad Raikan Raya - bertujuan mengumpul dana bagi membantu keperluan institusi warga emas di seluruh Malaysia.

Ucapkan terima kasih

Terdahulu, pemenang Lagu Terbaik AIM 22 itu turut berkongsi pengalamannya yang baru saja pulang dari Seville, Sepanyol selepas terbabit dengan program membina masjid di sana.

Menurutnya, dia 'terjebak' dengan usaha membina masjid di Sepanyol kerana terkilan, bandar yang dianggarkan mempunyai 25,000 penduduk beragama Islam itu tidak mempunyai masjid atau pusat perkembangan Islam sesuai.

“Saya terpanggil untuk membantu mengumpul dana bagi menyiapkan masjid di Seville. Kasihan melihat penduduk di sana yang terpaksa menyewa bangunan kedai untuk dijadikan masjid.

“Padahal negara itu suatu ketika dulu merupakan empayar Islam begitu kuat sebelum ia jatuh. Sejak itu, masjid ditukar menjadi gereja,” katanya.

Selain itu, Faizal juga tidak dapat melupakan pengalamanya ke Jakarta ketika menjalani penggambaran dokumentari Wali Songo untuk sebuah stesen TV di Indonesia.

Menurutnya, di sana dia berpeluang mendekatkan diri dengan anak-anak tidak berkemampuan yang dipaksa mengemis di Semarang.

Asalkan berpeluang mengubah dunia menjadi tempat lebih baik - itu sebab Faizal tidak jemu untuk menjalankan kerja amal.

Meskipun beranggapan usaha datang darinya hanya sebesar zarah, Faizal tetap berbangga apabila berjaya merapatkan hubungan silaturrahim dengan pihak pengurusan di beberapa tempat dilawati.

“Usaha I Am Faithmen ini kecil, tetapi saya berharap ia dapat membawa umat sejagat tidak kira agama, bangsa atau warna kulit agar bersatu padu.

“Pada saya ia bukan saja menolong orang dan tunggu orang lain berterima kasih kepada kita, bukan.

“Apabila kita diberi peluang membantu orang yang memerlukan, justeru kita yang perlu berterima kasih kepada mereka," katanya.

Lihat Komen