malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
To'ki mengaku tak mampu beli beras
ADS

Sekian lama menyepikan diri dalam bidang seni tanah air, tiba-tiba kelibat penyanyi popular era 1990-an To’ki menjadi tular di media sosial dengan penampilan berbeza.

Menerusi gambar berkenaan pelbagai andaian dibuat, tetapi yang mungkin umum tidak ketahui ialah sebenarnya To'ki dihimpit kesulitan hidup apabila tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ekoran hal itu, mula timbul desas-desus menyatakan misalnya To'ki sudah menjadi pengemis di jalanan.

Bagaimanapun, dengan tegas To'ki menafikan perkara berkenaan, dan menjelaskan apa yang diperlukannya ketika ini.

"Kalau ada mana-mana persatuan nak bantu, jangan bagi token (saguhati), bantu betul-betul, beri saya beras supaya dapat sekeluarga makan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut penyanyi yang memiliki nama sebenar Mohd Zaki Mansor itu, dia berdepan dengan dugaan hidup sejak tiga tahun lalu apabila studionya dimasuki perompak.

Ekoran pencerobohan itu, semua peralatan muziknya hilang, termasuk gitar kesayangannya.

Namun kata To'ki, bukan soal kerugian wang ringgit menjadi isu paling utama, tetapi lebih kepada nilai sentimental barang dalam studio seperti trofi Komposer Terbaik Asia 1999 yang pernah dimenanginya melalui lagu Zikir Kasih dendangan Amir Ukays.

"Saya tidak malu mengaku yang saya tak punya wang untuk beli beras. Ada ketikanya saya meminjam daripada rakan, dan mungkin sebab itulah saya didakwa mengemis," katanya.

To’ki, 50, ditemui pada sidang media untuk menjelaskan spekulasi dikaitkan dengannya di pejabat Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Turut hadir Presiden YA1M, Datuk DJ Dave dan anak To'ki, Nur Nilam Qaseh, 9.

Ada banyak tuduhan

Mengenai beberapa tuduhan lain seperti masih aktif dengan penyalahgunaan dadah, To'ki mengakui ia menghiris perasaannya.

Kata penyanyi yang popular menerusi lagu Hampa, Seni Berzaman dan Biasan itu, ia adalah sejarah lama hidupnya.

"Jangan ada orang cakap saya hisap dadah lagi. Kalau dulu, ya, ketika umur 15 tahun.

"Saya sudah lama berhenti mengambil dadah, sejak 18 tahun lalu kerana tidak mahu bergelumang lagi dengan dadah demi masa depan.

"Malah saya pernah kena buang dari UiTM kerana dadah," kata anak kelahiran Changloon, Kedah itu.

To'ki juga menegaskan tiada keperluan untuk dia berbohong. Namun pada masa sama dia menegaskan kini bergantung kepada ubat Suboxone Film 2/0.5 berharga RM13 setiap satu untuk menghilangkan rasa ketagihannya.

Baru-baru ini seorang peminat memuat naik gambar penyanyi itu di Facebook apabila terserempak dengannya di sebuah stesen minyak.

Selepas bertemu To’ki, lelaki berkenaan meluahkan kebimbangannya terutama ketika menjelang Ramadan.

Malah dia turut berharap ada persatuan sudi menghulurkan bantuan seperti pernah dilakukan terhadap penyanyi era 1980-an, Ben Nathan.

To’ki sebelum ini hilang dari radar seni apabila didakwa sebagai ketua kongsi gelap dan menjadi suspek penting dalam sindiket curi kereta.

Bukan itu saja, namanya juga dikatakan membusuk selepas banyak dikaitkan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah serta sering dilihat merayau-rayau di Pasar Borong Selayang, Gombak.

Bagaimanapun semua tuduhan itu dinafikan To'ki.

Sementara itu, DJ Dave berkata, majlis hari ini diadakan bukan untuk memberi sumbangan kepada To'ki sebaliknya cuba meningkatkan taraf hidup penyanyi terbabit supaya tidak lagi hidup dalam kesempitan.

"To'ki memang seorang berbakat dan kita akan mengasah balik keistimewaan yang ada padanya.

"Selain itu, kami akan cuba memberi dia peluang menyanyi di majlis dianjurkan YA1M pada Ramadan ini," katanya.

Lihat Komen