malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Gadis 23 tahun takluk hati Jamal
Diterbitkan:  May 24, 2017 11:51 AM
Dikemaskini: 3:54 AM
ADS

Kehidupan menduda selama 10 tahun Datuk Jamal Abdillah kini berakhir selepas penyanyi itu menyunting seorang gadis berusia 23 tahun.

Perkahwinan Jamal dengan gadis yang dirahsiakan identitinya itu dilaporkan berlaku pada 1 April lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan keluarga Jamal, majlis menyatukan mempelai hanya dihadiri oleh anggota terdekat masing-masing.

Menurut laporan Berita Harian, gadis yang berjaya menakluki hati penghibur bersuara emas itu adalah wanita berasal dari Kulim, Kedah.

Penyanyi Takdir Penentu Segala itu mengesahkan berita berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

Sebelum ini, Jamal mempunyai rekod perkahwinan dengan beberapa wanita antaranya, Basariah Latif pada 1998 tetapi mereka bercerai lapan tahun kemudian.

Penyanyi itu kemudian menikahi Intan Noraina Mohd Yusof pada 2001.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan anak lelaki, Osama Yamani yang kini berusia 16 tahun.

Perkahwinan itu bagaimanapun juga tidak berkekalan dan kemudian Jamal, 58, berkahwin buat kali ketiga dengan Fatimatuhzara Samat pada 2005.

Sepanjang usia perkahwinan ketiga selama dua tahun itu, pasangan terbabit dikurniakan bayi lelaki, Ahmad Zaki yang kini mencecah usia 10 tahun.

Sementara itu, pengurus Jamal, Ali berkata sebuah sidang media bakal diadakan berhubung perkara terbabit tidak lama lagi.

Lihat Komen