Kartunis Zunar mencadangkan Ujang dan syarikat Nyla Sdn Bhd berbincang bagi menyelesaikan isu penamatan kontrak serta merta yang dihadapi kartunis itu daripada majalah komik Upin & Ipin.
Menurut Zunar, ramai pihak cuba menghubunginya untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu tetapi beliau gagal menghubungi Ujang bagi mendapatkan penjelasan.
Enggan dilihat masuk campur dalam isu berkenaan, Zunar berkata selaku kartunis senior beliau bersimpati dengan Ujang yang menghadapi pelbagai isu dengan syarikat-syarikat penerbitan sebelum ini.
Katanya, meskipun pemecatan itu tidak salah, namun beliau melihat isu itu sebagai pemberhentian serta merta dan ia seharusnya dibuat dengan mengambil kira jasa Ujang membangunkan majalah tersebut.
Zunar berkata, berdasarkan kefahaman beliau, Les Copaque Production Sdn Bhd merupakan pemegang lesen Upin & Ipin dan telah melantik Nyla sebagai penerbit komik berkenaan.
Manakala Nyla pula kemudian melantik Ujang, atau nama sebenarnya Ibrahim Anon sebagai penasihat majalah tersebut.
"Dari senario ini, dari segi kontrak, ia hanya melibatkan Nyla dan Ujang. Pihak Les Copaque boleh dikatakan tidak terlibat, walau pun ada dakwaan bahawa syarikat tersebut memberi tekanan kepada Nyla untuk memberhentikan Ujang.
"Dan saya rasa tidak salah bagi Nyla untuk menamatkan kontrak Ujang.
"(Namun) Saya lihat isu ini sebagai kaedah pemberhentian yang mendadak. Saya percaya ia dapat diselesaikan jika kaedah penamatan kontrak dibuat dengan lebih bijak," kata Zunar.
Ujang dan Zunar merupakan antara nama besar dalam industri kartun dan pernah bersama di majalah Gila-gila, yang dianggap sebagai pelopor majalah kartun di negara ini sejak lebih tiga dekad lalu.
Justeru Zunar mencadangkan pemilik Nyla, Tunku Maziah Tunku Mukhtar dan Ujang berbincang semula supaya satu penyelesaian dapat dicapai.
"Saya cadangkan supaya Tunku Maziah dan Ujang berbincang semula supaya satu jalan penyelesaian kontrak ini dapat dicapai mengambil kira jasa Ujang dalam membangunkan majalah tersebut sejak mula.
"Ini hanya cadangan dari saya, bukan berniat untuk masuk campur dan boleh diabaikan jika ia tidak membantu.
"Sebagai kartunis, saya bersimpati dengan Ujang yang menghadapi berbagai isu dengan syarikat-syarikat perniagaan dan ingin berpesan supaya dia tidak berputus asa melukis," kata Zunar.