malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Giring Nidji: Ada bagusnya selebriti sertai polemik politik
ADS

Fenomena selebriti berbahas isu politik bukan perkara aneh. Dengan kredibiliti yang ada pada sesetengahnya, mungkin ada pendapat mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Itu belum lagi kisah artis terjun ke dunia politik.

Apa pun tindakan mereka, ia biasanya berlandaskan kepada keinginan memberikan pandangan dengan bebas.

Menurut vokalis band rock moden Indonesia Nidji, Giring Ganesha, hak dan peluang itu juga ada pada selebriti, malah ia memberi kelebihan kerana biasanya idea yang disampaikan lebih mudah dihormati masyarakat.

“Memang ramai penyanyi yang terbabit dalam polemik politik. Antaranya John Lennon, kumpulan Rage Against The Machine atau Damon Albarn.

“Saya rasa semua orang termasuk penyanyi mempunyai hak untuk bercakap tentang politik kerana mempunyai kelebihan untuk didengar.

“Sebab itulah kita boleh memberi pandangan terbaik bagaimana cara hendak membangunkan negara kita,” katanya.

Pun begitu, artis dan politik bagaikan dua dunia berbeza. Ia mempunyai sifat pro dan kontra masing-masing.

Justeru, Giring mengakui keterlibatan seseorang selebriti dalam politik bakal mengundang kesan positif atau sebaliknya.

“Iya, pasti ada yang suka atau tidak menyokong, tetapi itulah demokrasi, ia mengenai hormat dan saling percaya antara satu sama lain,” katanya.

Selain bergelar penyanyi, Giring memenuhi masanya dengan menjadi seorang penuntut jurusan sains politik di Universiti Paramadina, Jakarta, Indonesia.

Walaupun mengakui akan tetap bersama Nidji hingga ke akhir hayat, dia tetap memasang impian untuk menceburi bidang politik suatu hari nanti.

Tetap utuh selepas 15 tahun

Giring atau nama penuhnya Giring Ganesha Djumaryo, 33, ditemui pada sidang majlis pelancaran album terbaharu Nidji, Love, Fake & Friendship di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Giring turut ditemani lima lagi anggota lain iaitu Andi Ariel Harsya dan Ramadhista Akbar (gitar), Randy Danistha (keyboard), Andro Regantoro (bass), serta Adri Prakarsa (dram).

Bagaimanapun, kedatangan mereka bukan untuk bercakap soal politik.

Sebaliknya, kumpulan yang popular melalui lagu Hapus Aku itu ingin mempromosi album terbaru mereka selepas lima tahun tidak tampil dengan album studio.

Selain itu, mereka juga ingin melepas rindu peminat kerana dua tahun tidak menggegarkan pentas di Malaysia.

Kali ini mereka akan membuat persembahan istimewa di Kilang Bateri, Johor Bahru yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam ini.

Menurut Giring, album Love, Fake & Friendship memuatkan 12 lagu itu mengambil tempoh lama untuk disiapkan. Semuanya kerana mereka ingin peminat mendapat buah tangan yang berbaloi dengan tempoh menunggu.

Justeru, Giring berharap benar Love, Fake & Friendship dapat berbekas di jiwa pendengar.

“Kami adalah pemuzik yang sudah lima tahun tidak menerbitkan album. Kami berasakan peminat layak mendapat 12 buah lagu itu. Malah, kami tidak menyangka mampu hasilkan sebanyak itu.

“Secara jujur, untuk menghasilkan sesuatu di luar kotak adalah tugas mencabar. Demikian juga album pertama yang peroleh kejayaan, untuk menghasilkannya juga memerlukan waktu lama.

“Saya berharap album ini digemari dan peminat Malaysia menjadikan ia sebagai kisah berkait rapat dengan kehidupan," katanya.

Masa beredar memang pantas. Dalam pejam celik, hubungan kesemua anggota Nidji dilihat masih utuh walaupun sudah 15 tahun bersama.

Kata Giring, selama tempoh itu ada perkara lebih membanggakan boleh diambil kira sebagai pencapaian terbaik mereka - iaitu berjaya ‘menakluk’ jiwa pendengar di luar Indonesia.

“Kami masih lagi diundang ke Malaysia untuk buat showcase sedangkan ada beberapa nama yang pernah terkenal di sini dulu, sudah tidak kedengaran lagi.

“Hal ini bukannya mengenai berapa banyak tiket atau lagu yang pernah terjual, semuanya kerana anda masih sayang dan hargai muzik kami," katanya.

Lihat Komen