malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajadah Ka'bah buat Rahmad bahagia dengan arwah Deddy
ADS

Tanpa disangka, pertemuan singkat dengan seorang komposer Indonesia membuka jalan buat penyanyi Rahmad Mega merealisasikan impian menyampaikan lagu berunsur dakwah untuk kali pertama buat peminatnya.

Kata penyanyi Bayangan Gurauan itu, lebih membahagiakan, menerusi lagu Sajadah Ka’bah itu, hajatnya berduet bersama idola sejak kecil, Deddy Dores turut kesampaian walaupun ia berlaku selepas penghibur terbabit meninggal dunia.

Berkongsi kisah itu, Rahmad berkata, pintu rezekinya bagaikan terbuka luas sejak pulang dari mengerjakan umrah bersama isteri, Norpaizah Ahmad pada 28 Mac lalu.

“Ketika berada di Mekah, saya sering berdoa agar dikurniakan kesempatan untuk mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi yang dirasakan sudah sampai ke peringkat kemuncak.

"Saya juga memang mencari-cari lagu ketuhanan atau yang boleh memberikan nasihat bersesuaian dengan imej kerana sudah beberapa kali menunaikan umrah dan haji.

"Justeru saya amat bangga kerana dapat berduet dengan allahyarham Deddy yang dianggap otai di Indonesia," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Restoran Garuda, Gadjah Mada, Indonesia semalam.

Sajadah Ka'bah yang dicipta Cahaya Bunga Sarigih menceritakan tentang kerinduan seseorang untuk menunaikan ibadah di Mekah.

Berulang-alik ke Indonesia

Deddy menyanyikan lagu berkenaan kerana belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci dan pernah memasang impiannya untuk ke sana.

Dan lagu itu adalah yang terakhir dinyanyikan oleh arwah Deddy sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Mei lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Rahmad atau nama penuhnya Rahmad Tohak, 47, pertemuannya dengan Cahaya adalah peristiwa yang mungkin tidak boleh dilupakan.

“Kebetulan pada 6 April lalu selepas balik umrah saya ke Indonesia dan dipertemukan oleh rakan dengan Cahaya dan suaminya Maman Piul - bekas pemain biola Iwan Fals - selain diberi peluang mendengar koleksi lagu yang dihasilkan.

"Sebenarnya selama 10 tahun saya sering berulang-alik ke Indonesia atas urusan kerja.

"Namun, selama tempoh itu, langsung tidak terdetik di hati untuk mencari sebarang lagu," katanya yang gemar menyanyikan lagu Deddy seperti Jangan Pisahkan dan Mendung Tak Bererti Hujan.

Kata penyanyi yang turut popular menerusi lagu Takdir Dan Waktu itu, pertama kali mendengar Sajadah Ka'bah hatinya terus terpaut dengan lirik dan melodi yang dianggap seperti 'berhantu.'

"Pada awalnya selepas mendengar beberapa koleksi lagu Cahaya, tiada satu pun yang menangkap jiwa dan emosi kerana sememangnya saya mencari kelainan.

"Kerana saya sudah terlalu banyak lagu berkonsep cinta yang pernah dinyanyikan, sebelum ini.

"Tetapi selepas mendengar Sajadah Ka'bah saya dapati lagu itu mudah dan menjadi makanan jiwa selain sesuai dengan kualiti vokal malah beberapa rakan berbangsa Cina turut menyukai lagu itu seolah-olah mesej berjaya disampaikan," katanya.

Untuk makluman, Sajadah Ka'bah pernah dinyanyikan oleh kira-kira lima penyanyi Indonesia sebelum ini.

Bagaimanapun, Deddy dikatakan masih belum 'bertemu jodoh' dengan mana-mana penyanyi yang mempunyai kualiti vokal setanding dengannya.

"Untuk menyanyi lagu itu, sseeorang penyanyi perlu mempunyai nada vokal yang tinggi," katanya.

Lihat Komen