malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nelydia dapat waran tangkap LHDN
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 11:16 AM
Dikemaskini: Apr 23, 2017 4:07 AM
ADS

Akibat tidak hadir prosiding kes gagal mengemukakan cukai pendapatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan waran tangkap ke atas pelakon Nelydia Senrose semalam.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 23, menghadapi lima pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 78(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menghendakinya mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) bagi lima tahun taksiran.

LHDN memaklumkan, Nelydia gagal mengemukakan borang berkenaan bagi tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Adik kepada pelakon Uqasha Senrose itu juga turut menghadapi satu lagi pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 ACP1967 bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDN.

“Kegagalan mematuhi kedua-dua notis tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 120(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM200 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” menurut LHDN dalam satu kenyataan.

Saman telah diserahkan kepada Nelydia pada 11 April 2017 yang mengkehendaki aktres terbabit menghadiri sesi sebutan kesnya pada 12 April 2017 di Mahkamah Majistret Shah Alam Selangor.

Bagaimanapun, tertuduh ataupun wakil gagal hadir ketika sebutan kes berlangsung.

Sehubungan itu, peguam LHDN, Nurulsheeda Mohd Yahaya memohon satu perintah waran tangkap dikeluarkan terhadap Nelydia.

Permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Majistret Sarulatha Paramavathar yang menetapkan tarikh baharu sebutan kes iaitu pada 24 Mei 2017.

Sementara itu, Nelydia dilihat cuba memberi penjelasan mengenai isu itu di akaun Instagram miliknya.

Nelydia berkata, dia sudah membuat pembayaran kepada LDHN sebelum ini dengan menunjukkan bukti resit pembayaran pada 4 April lalu.

Lihat Komen