Bacaan al-Quran, doa selamat untuk Jupe

(Dikemaskini )

Adik kepada selebriti Indonesia Julia Perez memberitahu keluarganya akan mengadakan majlis mengaji al-Quran dan doa selamat untuk kakaknya itu malam ini.

Berita itu diumumkan selepas keadaan kesihatan Julia yang mengidap barah pangkal rahim peringkat keempat itu semakin buruk.

“Nanti akan ada mengaji dan bacaan doa selamat di biliknya,” kata adik Julia, Nia Anggia seperti dilapor media tempatan.

Ketika ini, Julia sedang berada di sebuah hospital di Jakarta bagi menjalani rawatan dan dikatakan semakin sukar berkomunikasi dengan tetamu.

Bilik penyanyi Aku Rapopo itu dipenuhi rakan selebriti yang hadir termasuk bekas suaminya, pemain bola sepak Argentina, Gaston Castano.

Namun, di saat dia diziarahi oleh keluarga dan sahabat, Julia dikatakan hanya mampu memberi respon menerusi kedipan matanya sahaja.

Nia ditemui media ketika menziarahi Julia sekitar jam 3 petang tadi.

Bagaimanapun, tidak banyak maklumat berhubung keadaan kesihatan Julia yang dituturkannya.

Nia cuma memberitahu mengenai rancangan untuk mengadakan majlis berkenaan selain menjelaskan ia akan dijalankan oleh anggota keluarga.

“Justeru saya akan mengumpulkan seluruh anggota keluarga.

“Ya, kami bawa semua, sudah namanya pun upacara mengaji dan membaca doa. Jumpa waktu mahgrib nanti,” katanya.


Artikel berkaitan

Share