malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bapa tiada rancangan lawat Benjy di Indonesia
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:29 AM
ADS

“Untuk apa saya ke sana?” kata Khairil Anwar ZM Rashidi, bapa kepada pelakon Malaysia yang ditahan berhubung kes dadah di Medan, Indonesia Selasa lalu.

Kata Khairul Anwar, dia juga tidak mampu ke negara jiran itu atas faktor kewangan dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Dia ditanya sama ada akan ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes melibatkan Benjy - atau nama penuhnya, Khaeryl Benjamin, yang ditahan di Lapangan Terbang Kualanamu di Medan.

Benjy, 38, ditahan selepas pihak berkuasa di lapangan terbang itu menemui dadah jenis syabu yang disembunyikan pada duburnya. Dadah itu dikatakan seberat 14 gram.

Khairil Anwar, 65, atau lebih dikenali dengan panggilan Karl berkata dia dalam keadaan uzur selepas diserang angin ahmar sejak beberapa bulan lalu.

“Saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk ke Indonesia kerana tidak mampu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dia juga mendakwa tidak tahu-menahu mengenai penahanan Benjy sehinggalah dihubungi media.

Namun, apabila diminta mengulas lanjut mengenai berita berkenaan, Khairil Anwar berkata, tiada apa boleh dijelaskan lagi.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini pun selepas mula dihubungi pihak media.

“Tetapi saya tiada apa hendak dikomen. Saya juga tidak boleh nak bercakap lama kerana tidak sihat,” katanya.

Untuk rekod, ibu Benjy ialah Azean Irdawaty yang terkenal dalam bidang lakonan pada era 1970-an dan 1980-an.

Antara filem lakonannya yang diingati ialah Esok Masih Ada pada 1979 dan Langit Petang (1982). Filem terakhir dilakonkannya ialah membawa watak Embun dalam Talentime (2009).

Azean juga berbakat sebagai penyanyi. Dia meninggal dunia pada 17 Disember 2013.

Lihat Komen