Patung lilin Anil Kapoor di Kota Singa

(Dikemaskini )

Pelakon Bollywood Anil Kapoor mendapat penghormatan apabila pertama kali patung lilin menyerupainya dibina di muzium Madame Tussauds, Singapura selepas tiga dekad bergelar anak seni.

Anil, 60 hari ini bersemuka dengan patung berkenaan, meskipun struktur itu dikatakan jauh lebih muda berbanding usia dirinya yang sebenar.

Patung itu mempamerkan watak Anil sebagai hos ketika berlakon dalam filem yang meraih Anugerah Oscar 2008, Slumdog Millionaire.

Bagaimanapun, Anil mengakui sesi untuk merakam imejnya sedang duduk ketika proses pembuatan patung itu tahun lalu, amat menyukarkan.

“Ia sukar selain memerlukan banyak kesabaran dan memerlukan penumpuan,” katanya seperti dilapor The Straits Times.

Nama Anil popular menerusi karakter dilakonkan dalam Mr India, 1987 selain diberi kepercayaan untuk bergandingan dengan pelakon Hollywood Tom Cruise dalam Mission Impossible: Ghost Protocol (2012).

Katanya, sebelum ini dia tidak menghargai setiap peluang yang diberikan.

“Untuk dekad pertama, kamu ambil mudah. Untuk dekad kedua, kamu tidak benar-benar menikmatinya.

"Tetapi pada dekad keempat karier saya, untuk sesuatu seperti ini berlaku, saya lebih menghargainya,” katanya.

Patung berkenaan adalah sebahagian daripada pameran Anugerah Pengalaman Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA).

IIFA adalah acara tahunan bagi menghargai industri perfileman di India.

Selain Anil, pameran itu juga menempatkan patung lilin aktor seperti Shah Rukh Khan, Aishwarya Rai dan Amitabh Bachchan.

Ketika acara perasmian itu juga, Anil sempat menunjukkan skil menari dengan lagu dari Slumdog Millionaire, Jai Ho.

Share