Tumor otak ajar Nazim melangkah lebih tabah

Nadia Azam
(Dikemaskini )

Sudah dua tahun Nazim Othman bebas daripada cengkapan ketumbuhan otak namun traumanya masih bersisa buat pelakon itu.

Justeru dari sehari ke sehari menghela nafas kehidupan, pengalaman itu mengajar Nazim untuk tidak lupa supaya selalu bertolak ansur sesama insan.

Biarpun Nazim tidak pernah menduga diturunkan dugaan sebesar itu daripada Yang Maha Esa, dia tidak mengeluh, sebaliknya bersyukur dan semakin menghargai setiap detik yang dikecapinya.

“Saya bersyukur bukan saja kerana diberi kesembuhan selepas didatangi ujian berat itu, tetapi berasakan peristiwa berkenaan memberi impak tertentu dalam hidup.

“Saya kini menjadi manusia yang jauh lebih kuat berbanding sebelum sakit, dan hati saya terbuka untuk sentiasa bertoleransi sesama insan,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketumbuhan pada otak Nazim dikesan berada di antara bahagian mata kanan dan di atas hidung kanan.

Sebagai langkah segera, doktor menjalankan pembedahan membuang ketumbuhan itu pada 6 Mac 2015.

Kembali sihat selepas itu, Nazim, 32, berkata pengalaman berkenaan memberi perspektif baru selain menjadikan dirinya mudah bersikap tenang semasa berhadapan sebarang kesulitan.

Syukur dia hadir

Pemilik nama penuh Nushrul Alif Othman itu turut mendedahkan, dia gembira kerana ada insan lain sudi menjadikan pengalamannya berdepan ujian dan kesakitan sebagai rujukan.

“Saya juga bersyukur kerana ramai orang luar memberitahu betapa mereka menjadikan kisah saya pada waktu itu sebagai inspirasi untuk terus kuat menjalani kehidupan masing-masing.

“Saya pernah terfikir mungkin takdir menentukan selepas kesakitan itu saya tidak boleh lagi aktif dalam bidang seni, tetapi nampaknya Tuhan masih memberi jalan untuk saya terus bertahan sehingga ke tahap ini,” katanya.

Selain itu, pengalaman ditimpa sakit turut menjadikan pelakon Lara Aishah itu sebagai seorang anak seni yang tidak pernah mengenal penat lelah.

Setahun selepas menyertai program nyanyian Gempak Superstar, bekas pramugara itu dilamar oleh label muzik Raksasa Records.

Kali ini, suami kepada Bella Dally itu kembali dengan single terbaru Kerana Cinta, selepas cubaannya untuk memenangi jiwa pendengar dengan tiga lagu sebelum itu berdepan kegagalan.

Kerana Cinta mendapat sentuhan komposer Ezra Kong, Hael Husaini dan Mike Chan dan dilancarkan secara digital pada 24 Mac lalu.

Berkongsi detik gembira ketika Kerana Cinta dilancarkan secara rasmi baru-baru ini, Nazim menyatakan lagu itu memang ditujukan khas buat wanita yang menjadi penyokong tegarnya selama ini, Bella.

Nazim malah ikhlas mengangkat isteri yang dinikahi pada 10 September tahun lalu itu ke kedudukan tinggi, iaitu sebagai penguat semangat yang mendorongnya berbuat kebaikan.

“Saya seorang individu yang ada kalanya terpaksa tunduk dengan tekanan hidup kerana karakter yang banyak berfikir.

“Saya juga seorang tegas merencanakan perjalanan hidup dan kerjaya, Bella pula seorang individu yang lebih lembut karakternya dan ikhlas mendampingi ketika senang dan susah.

“Dia boleh saya katakan sebagai pengimbang karakter saya. Itu adalah antara kualiti yang sukar dicari dalam diri seseorang. Jadi, saya bersyukur Bella hadir dalam hidup sebagai isteri,” katanya.


Artikel berkaitan

Share