malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aaron Kwok akhiri zaman bujang pada usia 51
Diterbitkan:  Apr 19, 2017 12:14 PM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

Bintang Hong Kong Aaron Kwok akhirnya menamatkan zaman bujang ketika berusia 51 tahun dengan seorang model selepas pelbagai spekulasi timbul di awal perancangan perkahwinan mereka.

Aaron dan Moka Fang, 29, diraikan dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel Penisula, Hong Kong semalam.

Pada pagi sebelum majlis berlangsung, Moka memuat naik gambar sepasang kasut berwarna merah, sekali gus mencetuskan sekali lagi spekulasi bahawa ia adalah kasut pengantin yang akan dipakai pada hari perkahwinannya.

Aaron yang menerima julukan gelaran Empat Raja Syurga adalah yang terakhir berkahwin antara tiga lagi nama-nama besar aktor Hong Kong yang mendapat gelaran sama iaitu Jacky Cheung, Andy Lau dan Leon Lai.

Majlis berkenaan bagaimanapun dihadiri hanya kenalan rapat dan anggota keluarga Aaron dan Moka, manakala media tidak dibenarkan masuk.

Media melaporkan, beberapa pengawal keselamatan yang bertugas menghalau wartawan yang cuba membuat liputan.

Bagaimanapun, untuk menghentikan desas-desus itu, Aaron memuat naik beberapa keping gambar hari istimewanya khusus buat tatapan peminat.

Aaron tampil mengenakan busana dari Tom Ford manakala Moka memakai gaun Georges Hobeika dengan barang hiasan daripada koleksi Louis Vuitton.

Pasangan yang dipercayai mula menjalin hubungan pada 2015 itu lebih selesa mengunci mulut mengenai perkahwinan mereka hinggalah desas-desus mengenai majlis berkenaan mula bertebaran bulan lalu.

Seorang pekerja bank mendakwa anggota keluarga Moka ada berbincang mengenai perkahwinan yang bakal berlangsung.

Berita perkahwinan itu disahkan oleh pengurus Aaron, Leung May May.

Lihat Komen