malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tokoh budaya meninggal di bangsal menora
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 8:44 PM
Dikemaskini: 12:47 PM
ADS

Tokoh kebudayaan, Siri Neng Buah, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya di Kampung Kok Seraya, Tumpat di Kelantan hari ini.

Bekas pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di beberapa negeri itu disedari tidak lagi bernafas di atas bangsal menora di halaman rumahnya.

Beliau yang pernah diberikan anugerah Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup itu meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Siri berusia 65 tahun.

Memetik kenyataan isterinya, Chiam Eh Preng, Sinar Online melaporkan sejak kebelakangan ini kesihatan Siri agak beransur baik walaupun tiga bulan lalu ditahan selama seminggu di Hospital Tumpat.

"Dia nampak sihat dan bersemangat menghadiri program kebudayaan di Terengganu beberapa hari lalu," katanya.

Chiam, 58, juga menjelaskan malam tadi Siri mahu tidur di bangsal menora di halaman rumah mereka kerana cuaca panas.

"Tetapi pagi ini bila saya mahu kejutkannya dia sudah tiada," katanya.

Mendiang yang pernah bertugas sebagai pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, perlis dan Wilayah Persekutuan itu meninggalkan tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Chiam.

Lebih mesra dipanggil Pak Siri, beliau merupakan penerima Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup pada 2013 kerana menghargai dedikasi dan kerja kerasnya mengangkat budaya dan sejarah Malaysia agar tidak pupus.

Anugerah itu diberikan kepada seseorang yang memiliki latar belakang, kemahiran dan ketokohan dalam bidang seni dan budaya.

Anugerah lain diterimanya ialah Anugerah Tokoh Budaya Negeri Sembilan dan Anugerah Tokoh Masyarakat Siam Malaysia Kedah pada tahun 2014 dan Anugerah Kehormat Bentara Paduka Raja, Persatuan Keturunan Cik Siti Wan Kembang (2013).

Siri berkebolehan dalam mempersembahkan tarian menora, mak yong dan dalang wayang kulit.

Lihat Komen