malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Salma takkan rela anak didera
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 8:34 PM
Dikemaskini: 12:36 PM
ADS

Naluri keibuan penyanyi Salma Andi Asis seakan membentak-bentak apabila ditanya mengenai anak perempuannya yang didera.

Katanya, sebagai wanita yang mengandung selama sembilan bulan dan melahirkan, dia tidak sanggup untuk membiarkan kejadian buruk menimpa anaknya.

“Sebagai ibu, takkan saya nak biarkan anak didera,” kata bekas juara program Mentor musim kelima itu.

Itu luahan hati Salma apabila berbicara kes suaminya, Mohammad Azri Abdullah, 30, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 April lalu atas tuduhan mendera anak tirinya, Putri Nurul Huda, 10.

Azri adalah bekas peserta Akademi Fantasi (AF) musim ke-9.

Menurut Salma, walaupun Putri adalah anak tiri Azri, hubungan kedua beranak itu didapati cukup rapat sepanjang usia perkahwinan mereka yang berusia tiga tahun.

Katanya, tiada sebarang kenyataan berhubung tuduhan boleh dibuat atas nasihat peguam suaminya.

“Kalau baca komen-komen di media sosial itu memang sakit hati, sebab mereka tak tahu apa-apa. Saya serahkan perkara ini kepada pihak yang lebih adil.

“Putri memang mengalami kulit sensitif sejak kecil. Saya tak boleh bagi komen lebih lanjut. Tunggu sahaja laporan lengkap.

“Cuma apa saya boleh cakap, hubungan Azri dan Putri sangat rapat. Malah, lebih rapat daripada dengan saya,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Azri didakwa mendera anak perempuan tirinya yang berusia 10 tahun itu dengan mencelup kedua-dua tangan budak terbabit ke dalam air panas di sebuah pangsapuridi Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi pada 5 Mei tahun lalu.

Azri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Walaupun berdepan isu terbabit, Salma menegaskan, rumah tangganya tidak menghadapi sebarang masalah.

“Putri bila tengok berita tentang ayahnya ditayangkan di televisyen, dia terus menangis. Tapi tak apa, ini semua ujian daripada Tuhan.

“Saya sendiri pun terkejut dengan apa yang berlaku tapi saya reda dan berserah kepada Allah,” katanya.”

Lihat Komen