malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pandora tak benci artis berlagu mendayu-dayu
ADS

Ketika lagu dengan alunan mendayu-dayu dan lirik merintih-rintih sedang mendapat sambutan hangat di pasaran, kumpulan rock alternatif, Pandora, mengakui mereka tidak mahu ‘mati’ sebaliknya berazam gigih mengorak langkah jauh ke depan.

Kerana, mereka mahu percaya industri tanah air tidaklah kejam mana dan ada ruang - dan sokongan - daripada peminat.

Itu, kata mereka, belum termasuk sokongan stesen radio atau wadah lain yang sepatutnya membantu berbanding membatu.

Sengaja diusik sama ada Pandora - yang dianggotai tiga anak muda itu - membenci kelahiran artis baru yang membawa lagu melewah-lewah, mereka ada pendapat sendiri mengenainya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Haniff Khan Mohd Khan, 35, selaku ketua kumpulan dan pemain dram meluahkan dan melontarkan beberapa pandangan.

Selain Haniff, Pandora turut dianggotai oleh She atau Nurashida Azli sebagai vokalis dan Mohd Nazri atau Nine (basis).

MALAYSIAKINI: Begitu ramai penyanyi muncul bak cendawan lepas hujan membawakan lagu mendayu-dayu. Misalnya Khai Bahar, Suffian Suhaimi atau Aiman Tino. Boleh bagi pandangan?
HANIFF: Sebagai artis atau pengkarya, kami tidak membenci atau mendiskriminasi sesiapa kerana tugas kami ialah mendidik. Kami tetap menyokong Aiman Tino walaupun kami bergelar band rock, asalkan dia membantu dan menjadikan industri meriah. Mungkin kami tidak meminati dia, tetapi peminat nampak apa yang dia ada. Mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi, muzik dia akan agresif atau lebih matang. Sokong-menyokong perlu ada pada setiap artis dan lepas ini bolehlah Aiman Tino sokong Pandora.

MALAYSIAKINI: Bagaimana pula dengan persepsi orang luar jika menganggap Aiman Tino atau Suffian Suhaimi penyanyi nombor satu Malaysia kerana populariti mereka?
HANIFF: Apa terjadi dalam industri, apa ditonjol pihak media, televisyen atau radio itulah yang kita pamerkan kepada negara luar. Kalau orang seberang datang, kita kenalah tunjukkan: Inilah artis popular dengan peminat puluhan juta itu. Ia tak boleh dinafikan. Bagi saya, setiap artis kalau diberi high rotation di radio misalnya, pasti dapat meningkatkan populariti mereka. Cuba mainkan lagu Pandora setiap hari, insya-Allah, perkara sama akan berlaku. Bukan saja Pandora, malah semua artis Malaysia akan meningkat, baru industri berkembang.

MALAYSIAKINI: Mungkinkah ada keinginan Pandora berkolaborasi dengan salah seorang penyanyi lagu tangkap leleh, Aiman Tino misalnya?
HANIFF: Kami tiada masalah dengan hal itu. Kami juga dengar lagu Justin Bieber. Muzik adalah universal. Pendek kata, kalau Aiman Tino dapat menyanyikan lagu kami sebagai cover, bagus juga.

MALAYSIAKINI: Adakah dengan kemunculan lagu berirama mendayu-dayu menyebabkan Pandora teringin mengubah jati diri muzik negara?
HANIFF: Cara betul untuk mendukung industri agar lebih kukuh ialah dengan mencipta sesuatu yang baru di pasaran. Apabila Aiman Tino dan Suffian Suhaimi berada dalam industri, kita kena beralih dari arah itu. Tempoh lagu seperti itu menduduki pasaran teratas mungkin tidak lama kerana dalam setiap setahun atau enam bulan industri bertukar ikut konsep tertentu. Pandora adalah Pandora yang dicipta dari awal sampai akhir, kekal begitu baru layak digelar legenda.

MALAYSIAKINI: Adakah Pandora yakin peminat boleh menerima sekiranya kamu keluar dengan lagu baru dan gadingannya adalah penyanyi seperti Aiman Tino?
HANIFF: Benda akan 'meletup kita boleh jangka, sama macam jangkaan awal pada Akim & The Majistret. Setiap kumpulan ada keistimewaan dan peminat sendiri. Peminat itulah yang akan berkongsi muzik kerana kalau tidak, satu industri dilanda demam sama berlarutan.

MALAYSIAKINI: Bercakap soal lagu, apakah Pandora mempunyai buah tangan terbaru yang ingin dikongsikan dengan pembaca?
HANIFF: Sony Music Malaysia akan terbitkan prelude Mimpi Kamu pada 28 April depan. Kemudian kami menjangkakan single ketiga Pandora yang akan disiarkan selepas Aidilfitri. Berita gembira tidak terhenti di situ kerana pada Disember pula kami akan lahirkan album pertama dimuat lapan lagu.

Lihat Komen