malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lihat anak Serina mesti menangis
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 1:35 PM
Dikemaskini: 5:39 AM
ADS

Betapa berat mana memandang, berat lagi bahu memikul - itu keluhan Serina Redzuawan apabila kontroversi rumahtangga yang dihadapinya semakin diperbesarkan.

Biar apa pun tanggapan umum terhadap krisis hidupnya itu, pelakon terbabit menegaskan bukanlah dia sengaja membiarkan situasi yang didepani itu mengeruh dari sehari ke sehari.

Bahkan anak cef popular Datuk Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mengakui berusaha sedaya mampu untuk menyemarakkan kasih sayang dengan pasangannya seperti satu ketika dulu, namun tidak berhasil.

“Tidak ada mana-mana insan yang mendirikan masjid ingin merobohkannya. Saya dah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan malangnya banyak perkara yang terlalu sensitif saya tak boleh cerita menjadi punca saya failkan cerai.

“Apa yang anda semua baca dari Instagram saya dan bapa, apa yang Gavin jawab, realitinya hanya Serina yang tahu dan menanggungnya,” tulisnya dalam ruangan komen di media sosial.

Menurut Serina, ekoran konflik berterusan itu, mangsa sebenar keadaan itu ialah dua anaknya, Tristan, 6, dan Isabella, 5.

Usar lempar minyak pada api

Sebagai ibu, katanya, dia tidak sanggup melihat kedua-dua anaknya itu terbeban dengan konflik berpanjangan.

“Memang saya sangat sedih dan berasa tiada semangat apabila tengok keadaan anak-anak ketika jemput mereka balik dari sekolah, saya mesti menangis.

“Sebab mereka sentiasa senyum kepada saya. Mereka masih kecil tidak tahu apa-apa dan apa yang dah berlaku.

“Saya tidak mahu mereka trauma apabila membaca macam-macam komen negatif,” katanya.

Terdahulu, Cef Wan yang seolah-olah tidak dapat membendung perasaan berbuku di hati membuat kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya, mengenai sikap menantu Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.

Walaupun pendedahan dibuat ibarat membuka pekung di dada, namun Serina tidak berkecil hati dengan tindakan bapanya itu.

“Papa juga ada hak bersuara kerana dia adalah bapa saya. Saya harap tak perlu kita besarkan isu ini lagi... janganlah lempar minyak pada api yang sedang menyala,” katanya.

Semalam, Gavin pula dalam satu kenyataan kepada media menafikan kecaman bapa mentuanya yang menyifatkan dia kedekut.

Justeru,demi mencari jalan penyelesaian terbaik, Serina meminta peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan karier dan kehidupannya untuk mengerti.

“Kalau kamu semua ikhlas jadi peminat dan penyokong keluarga kami, tolong lah jangan perbesarkan lagi hal ini. Kami dalah kes mahkmah, biarkan mahkhamah tentukan apa terbaik,” katanya.

Lihat Komen