malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada artis bergaya mewah culas bayar PTPTN?
ADS

Pahit untuk ditelan namun itulah realiti yang dihadapi Ahmad Idham. Ramai selebriti di negara ini sebenarnya masih berhutang kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Keadaan itu, katanya, berlaku ketika sesetengah artis gemar memaparkan gaya hidup mewah kepada umum.

Kata pengarah berkenaan, sikap itu secara tidak langsung mencalarkan reputasi penggiat seni tanah air secara keseluruhan.

“Saya sungguh malu apabila ada artis Malaysia tidak membayar pinjaman PTPTN sedangkan mereka asyik menunjuk kemewahan diri," katanya kepada Malaysiakini.

Enggan mendedahkan identiti artis berkenaan, Ahmad Idham, 43, berkata individu yang terbabit sepatutnya tahu apa yang dimaksudkannya.

“Selama ini kita asyik sibuk (memperkatakan hutang PTPTN) orang lain, jadi, mohon artis di luar sana… kamu tahu diri kamu siapa, bagi talk (ceramah) di sana sini...” katanya.

Pelakon dan pengarah bernama penuh Ahmad Idham Ahmad Nadzzri itu berkata selebriti yang nampak berjaya boleh dijadikan teladan kepada orang lain yang masih keberatan melunaskan hutang mereka kepada PTPTN.

Katanya, sebagai artis popular mereka wajar melaksanakan tuntutan itu sebagai rakyat yang bertanggungjawab.

Ada apa dengan sistem pendidikan negara

Kenyataan Ahmad Idham itu khabarnya bukan dibuat secara melulu, malah maklumat berkenaan diperoleh ketika dia dijemput menghadiri forum bersama PTPTN.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas lanjut, pelakon filem Cinderella itu berkata dia, tidak dimaklumkan dengan nama tertentu.

“PTPTN tidak cakap nama pun, cuma bagitahu ada artis Malaysia, yang nama-nama besar belum selesai bayar hutang PTPTN,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ahmad Idham pernah menggunaan media sosial untuk mempersoalkan tindakan keras perbadanan itu ke atas peminjam yang didapati tidak membayar semula pinjaman masing-masing.

Hukuman berkenaan menyaksikan mereka yang didapati liat membayar dalam tempoh ditetapkan, disenarai hitam daripada ke luar negara.

Ahmad Idham nampak seolah-olah membentak, namun ekoran teguran itu PTPTN mengambil kira pandangannya dan memberi reaksi positif.

Sementara itu mengulas mengenai 'kelantangannya' di media sosial, Ahmad Idham berkata, tidak ada apa-apa yang aneh mengenainya.

Kata Ahmad Idham, orang ramai perlu sedar, di sebalik statusnya sebagai artis, dia juga ada hak - sebagai rakyat Malaysia - membangkitkan sesuatu isu yang dirasakan perlu.

Cuma dia mengakui ia tidak semudah itu. Pada masa tertentu Ahmad Idham terpaksa melayan pengguna media sosial yang kurang matang.

“Media sosial adalah medan yang rosak. Sepatutnya ia menjadi medan hubungan dua hala yang sihat dan positif, tetapi sekarang menjadi tempat melepas geram, bantai orang dan menegakkan benang basah," katanya.

Puncanya? Menurut Ahmad Idham, mungkin ada masalah pada sistem pendidikan negara yang tidak menitikberatkan aspek hak asasi manusia.

“Saya cuma persoalkan sesuatu isu, kerana kalau media sosial tidak boleh jadi tempat bertanya, saya hendak bertanya di mana? Takkan nak pergi ketuk pintu menteri tiap-tiap hari?” soalnya.

Lihat Komen