malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Menantu Cef Wan nafi tak tunai tanggungjawab
Diterbitkan:  Apr 17, 2017 2:55 PM
Dikemaskini: 7:02 AM
ADS

Selepas dikecam bapa mentuanya, Gavin O’Luanaigh tampil mempertahankan diri selepas didakwa gagal memberi nafkah kepada isteri, Serina Redzuawan.

Menurut Gavin - atau nama Islamnya Salahudin Ghafar - sebagai suami, dia memang berusaha menunaikan amanah yang diberi kepadanya sepanjang mengharungi tujuh tahun perkahwinan mereka.

“Sepanjang perkahwinan kami, saya bersungguh-sungguh membiayai segala-galanya untuk keluarga.

“Saya menyediakan sebuah rumah emper enam bilik, membayar segala bil, pembantu rumah, percutian dan memastikan kedua-dua anak kami bersekolah di sekolah antarabangsa.

“Ini supaya mereka boleh mendapat pendidikan terbaik, yang saya rasakan adalah pemberian terbaik dapat diberikan seorang bapa kepada anaknya,” katanya.

Minggu lalu, Datuk Redzuawan Ismail - atau lebih dikenali sebagai Cef Wan - mendedahkan kepada umum mengenai kisah menantunya yang didakwa kedekut.

Kata Cef Wan, sudah "berbuih" mulutnya menasihati Gavin agar lelaki Ireland itu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan memberi nafkah, namun tidak diendahkan.

Menurut Chef Wan, sikap tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah membuatkan Serina terbeban dengan kerja lebih masa.

Kata Gavin walaupun Serina boleh dianggap berpendapatan lumayan, dia tidak pernah menggunakan alasan itu untuk berhenti daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Kerana, kata Gavin, hal itu memang menjadi kewajipannya.

Justeru, katanya, apabila isu nafkah tiba-tiba menjadi pertikaian Cef Wan, ia memang memeranjatkan.

“Saya akan sangat terkejut jika Serina meminta wang poket tambahan kerana sejujurnya Serina tidak pernah berbuat demikian, malahan kami tidak mempunyai isu dengan perkara itu,” katanya seperti dilapor FMT.

Terdedah pada sambutan hari lahir

Gavin memeluk Islam pada 2006 dan berjumpa Serina pada 2009. Mereka kemudian berkahwin setahun kemudian. Hasil perkahwinan itu pasangan terbabit dikurniakan dua anak - Tristan, 6, dan Isabella, 5, yang kini di bawah penjagaan Gavin sejak 15 bulan lalu.

Menurut Gavin dia benar-benar kecewa sebaik Serina memilih untuk keluar dari rumah dan meminta cerai pada Januari 2016.

Malah, hingga kini Gavin menjelaskan dia tidak memahami punca sebenar Serina meninggalkannya.

Namun dia berharap ada penyelesaian dicapai untuk mengatasi kemelut yang berpanjangan itu kerana perkahwinan bukan satu perjudian tetapi mengenai cinta, kesungguhan, komitmen dan pengorbanan.

“Saya dan Serina masih cuba menyelesaikan segala-galanya secara baik dan kami meletakkan anak-anak sebagai fokus utama.

"Ibu bapa saya hidup gembira sepanjang 47 tahun perkahwinan mereka. Walaupun terdapat saat bahagia dan duka dalam perkahwinan, saya berharap ia akan tetap utuh sampai bila-bila.

“Walaupun tidak tahu ke mana hala tuju Serina dan tempat dia tinggal, saya percaya tiada pembabitan pihak ketiga selain tidak membenarkan perceraian berlaku," katanya.

Gavin juga kecewa apabila konflik dalaman rumahtangganya didedahkan kepada umum pada hari dia menyambut ulang tahun kelahiran.

“Saya dan Serina sedaya-upaya cuba merahsiakan mengenai rumah tangga kami, ia cuma diketahui oleh keluarga dan rakan terdekat.

“Menjadi harapan kepada semua agar anggota keluarga dapat menyokong sesuatu pasangan dan membantu mereka sebaik mungkin dengan merahsiakan hal dalaman, terutama apabila membabitkan kanak-kanak.

“Pada akhirnya, hanya keluarga dan rakan terdekat tahu kebenaran dan mereka inilah yang paling penting.

"Suatu hari nanti kita akan diadili oleh tindakan kita dan saya tahu apabila hari itu datang, tidak ada apa yang perlu saya bimbangkan,” katanya.

Lihat Komen