malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Chef Wan 'hadiahkan' jari tengah pada pengacau
Diterbitkan:  Apr 16, 2017 7:51 PM
Dikemaskini: 12:05 PM
ADS

Berang akibat diganggu oleh peniaga atas talian yang menyiarkan iklan di ruangan Instagram miliknya, chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail 'menghadiahkan' mereka jari tengah sebagai satu bentuk pengajaran.

Tindakan demikian dilakukan selepas penjual-penjual berkenaan memuatnaik iklan produk mereka ketika Chef Wan berkongsi masalah rumahtangga dihadapi anak perempuannya, Serina di laman sosial itu.

"Di dalam kita kesedihan dan juga nak membaca setiap pandangan serta komen-komen dari follower saya tentang apa yang saya kemaskini di IG ini perihal Serina, sibuk gila spammer-spammer mahu menumpang jual barang dan sebagainya.

"Geram sungguh saya dengan manusia-manusia yang tiada langsung rasa hormat pada ruang peribadi kita terutamanya pada saat-saat macam ini," kata Chef Wan melepaskan kemarahannya.

Disebabkan terlalu geram bercampur kecewa, Chef Wan turut menukarkan status profil Instagramnya daripada awam kepada peribadi.

Menurut Chef Wan, golongan berkenaan menunjukkan sikap pentingkan diri semata-mata untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan privasi orang lain.

"Mereka ini bukannya kisah, yang penting adalah sikap pentingkan diri sendiri, ketamakan mereka menyebabkan mereka mengabaikan privasi orang lain.

"Saya selalu berasa jijik dengan perangai manusia sebegini yang tiada rasa hormat pada orang lain dan tidak berasa malu," katanya.

Status Chef Wan turut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan tindakannya itu.

Terdahulu, Chef Wan baru-baru ini mendedahkan isu nafkah yang menyebabkan konflik dalam rumah tangga anaknya, Serina.

Kata Chef Wan, sudah berbuih mulutnya menasihati menantu Salahudin Ghafar agar menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan memberi nafkah, tetapi tidak diendahkannya.

Serina baru-baru ini dilapor dalam proses menuntut cerai daripada suaminya itu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Lihat Komen