malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kartun patut merapatkan, bukan menjarakkan
ADS

Selepas melukis kartun lebih 40 tahun, Datuk Lat tahu benar apa yang boleh dan tidak boleh ketika membuat coretan bagi mengelak kemarahan orang ramai.

Sepanjang tempoh empat dekad itu, beliau tidak berdepan masalah walaupun turut menyentuh isu melibatkan pelbagai kaum.

Formula yang digunakan beliau - sentiasa mahu bersahabat.

"Kartun ni ada batasnya. Kalau kita melampau orang akan terasa dan kita tak mahukan itu.

"Kita mesti elakkan bahan yang menyinggung atau menyentuh persaudaraan, perkauman dan sebagainya. Ia tidak merugikan pun," katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Lat - atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid - ditemui semasa majlis pelancaran buku autobiografi Tan Sri Dr Khoo Kay Kim - I, KKK - hari ini.

Lat yang terkenal dengan siri The Kampung Boy dan kartun di akhbar New Straits Times (NST) diminta memberikan pandangan berhubung siaran karikatur Nanyang Siang Pau pada 8 April lalu.

Menurut beliau, selama lebih 40 tahun melukis karikatur di NST, tiada sesiapa yang marah kerana lukisannya itu tidak bersifat menyinggung atau menghina.

"Kami dulu memang tak mahu menyinggung atau menghina, terutama kalau kita daripada berlainan kaum.

"Kita mesti bersama dan bersahabat," katanya.

Menurut kartunis yang turut melahirkan watak komik Mat Som itu, lukisan sepatutnya berniat baik, merapatkan masyarakat dan bukannya melebarkan lagi jurang persahabatan.

Mengenai karikatur membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, disiar akhbar Nanyang Siang Pau, Lat berkata, seeloknya ia tidak dilakukan.

"Kita semasa kita, eloknya bersikap baiklah," katanya.

Beliau juga sempat memberi pandangan mengenai kartunis baru.

Katanya, mereka mendapat banyak bimbingan daripada ibu bapa, guru sekolah, guru agama dan sebagainya.

Justeru, kata Lat, seseorang kartunis sepatutnya tahu apa yang wajar dan tidak wajar dilakarkan.

"Pengetahuan mereka (sepatutnya) memang luas. Takkan perlukan nasihat daripada saya. Mereka anak-anak muda yang memang terpelajar. Jadi, fikirlah apa yang nak dibuat itu biarlah menyenangkan, menyatukan orang, menenangkan hati, memberi senyuman dan tidak menyindir atau menghina," katanya.

Lihat Komen