malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Serina pasrah jika tiada jodoh dengan 'mat salleh'
ADS

Dalam kalangan masyarakat, ramai percaya bahawa jodoh dengan individu berlainan bangsa kebiasaannya akan berakhir dengan penceraian.

Bagaimanapun bagi pelakon Serina Redzuawan, dia percaya usia jodoh seseorang bukan terletak di tangan manusia atau disebabkan faktor perbezaan adat dan budaya.

Menurut anak kepada chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail itu, sesebuah perkahwinan tidak terlepas daripada risiko penceraian sekiranya perkara itu merupakan suratan takdir.

"Apabila ada orang berkata itulah padahnya berkahwin dengan 'mat salleh', akhirnya bercerai, saya anggap orang yang berkata begitu sebagai 'mulut puaka'.

"Hanya pasangan berkenaan mengetahui kenapa mereka tidak boleh bersama dan bukan orang lain yang hanya pandai menuding jari,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Hospital terbitan MIG Pictures di Kuala Lumpur semalam.

Serina mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.

Media sebelum ini melaporkan perkahwinan Serina dan Gavin bakal berakhir apabila kelibat pelakon yang juga penerbit dan pengacara itu muncul di mahkamah syariah.

Namun, Serina menjelaskan buat masa ini, dia dan suami masih di peringkat perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kami masih dalam proses perbincangan kerana perkahwinan suatu perkara yang baik iaitu mendirikan masjid.

“Kalau hendak berpisah, baiklah dibawa berbincang terlebih dahulu,” katanya yang menafikan punca berlakunya konflik itu disebabkan pihak ketiga.

Sementara itu, ditanya mengenai pendirian Chef Wan mengenai mengenai kemelut rumah tangga yang dialami, Serina berkata bapanya itu menjadi tempat setia mengadu masalah.

Katanya, nasihat dan panduan diberikan bapanya dijadikan sebagai rujukan.

“Papa orang paling kuat menyokong, dia menasihatkan untuk tidak mengambil keputusan terburu-buru.

"Tetapi kalau berasa keputusan itu menggembirakan maka buatlah. Saya juga turut buat solat istikarah untuk fikir mana terbaik,” katanya.

Lihat Komen