malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Permaidani merah Belenggu Irama Wings 'jadi pink'
ADS

Harapan tinggi tapi tidak kesampaian. Itu yang dirasakan Awie apabila melihat sambutan yang diterimanya pada konsert gala Wings & Superfriends - Belenggu Irama malam tadi.

Awie bukan bercakap mengenai sambutan peminat, sebaliknya sokongan daripada rakan artis sendiri.

Malah, bagi Awie, permaidani merah yang dihampar untuk menyambut artis yang dijangka hadir, 'bertukar warna'.

“Saya terkilan kerana red carpet sudah bertukar menjadi pink. Benda ini perlu diambil serius kerana ia bertujuan menjaga kebajikan artis.

“Kita hendak meraikan mereka (artis) yang pernah mengupas sejarah. Cuba kita lihat Yazid dan Sahara, mereka adalah golongan itu,” katanya selepas selesai konsert berkenaan malam tadi.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman meluahkan rasa terkilannya tanpa berselindung.

Konsert itu diadakan memang untuk berhibur namun ia bukanlah matlamat mutlak. Sebaliknya Wings & Superfriends - Belenggu Irama itu diadakan juga untuk membela nasib rakan seperjuangan kumpulan legenda rock berkenaan.

Konsert Amal itu turut menampilkan persembahan Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip, Ito, Sahara Yaacob, Kudin Tiga Juara, Nabila - iaitu anak kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie - dan ramai lagi.

Demi saham akhirat

Sesuai dengan matlamatnya, Awie mempelawa ramai artis tempatan untuk membeli tiket dan hadir bersama-sama memeriahkan persembahan malam tadi.

Sebanyak 22 lagu disampaikan, termasuk Sayap Ilusi, Semalam Yang Hangat, Kamelia, Sejati, Bernafas Dalam Lumpur dan Kepadamu Kekasih.

Selain lagu, beberapa monolog turut disampaikan bagi menghibur penonton.

Menurut Awie, dalam soal bantu-membantu sesama rakan seperjuangan, sepatutnya artis tidak boleh berkira sangat, apatah lagi demi nasib masa depan yang tidak siapa tahu.

Oleh itu, katanya, wajarlah mereka mengambil iktibar daripada kehidupan rakan-rakan yang tidak bernasib baik.

“Sepatutnya mereka datang, beli tiket sendiri dan laburkan demi saham akhirat, tetapi mereka seolah-olah tidak ambil kisah pasal orang lain.

“Hal ini terjadi disebabkan lu, lu punya pasal, gua, gualah, iaitu berada dalam zon selesa, sedangkan mereka lupa hidup ini bagaikan roda dan pada bila-bila masa saja boleh ke bawah,” katanya.

Bagaimanapun, Awie tidak menyalahkan jika ada dalam kalangan artis itu yang tidak berkesempatan untuk datang kerana letih bekerja seharian.

“Saya maafkan sekiranya yang tidak hadir itu keletihan atau kerana bekerja, tetapi buat yang tiada alasan itu, saya anggap mereka tidak serius masalah rakan-rakan dan seolah-olah mereka tidak mahu berkawan,” katanya dengan nada kesal.

Konsert berkenaan diadakan di Istana Budaya bermula semalam dan berlangsung sehingga 9 April.

Lihat Komen