malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Badul bantu belia menerusi program kelas memasak
ADS

Tokoh yang sinonim dengan dunia lakonan lawak jenaka dan program bersiri tanah air, AR Badul, komited mahu membantu belia khususnya yang berminat menjadikan memasak sebagai punca pendapatan tetapi sukar mendapatkan modal.

Kata Badul, kesukaran mendapatkan pekerjaan hari ini di kalangan mahasiswa bukan sesuatu yang harus dipandang ringan.

“Saya betul-betul nak membantu. Peluang ini dibuka seluas-luasnya untuk belia dan beliawanis yang tamat pengajian tinggi tetapi hingga kini tidak mempunyai pekerjaan.

“Atau golongan itu yang sudah bekerja tetapi memperoleh gaji kecil dan tidak setimpal dengan apa yang dipelajari.

“Justeru, saya tampil untuk beri mereka peluang berniaga,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Badul, 67, belia yang sukar mendapat pekerjaan tidak lagi perlu risau mengenai masa depan tidak menentu dengan mendirikan perniagaan berasaskan makanan yang ditawarkan.

Katanya, sebelum belia mendapat bantuan kewangan diinginkan, proses pertama perlu dilakukan adalah menyertai program kelas memasak disediakan Syarikat Romawe Resources.

Dari situ, katanya, peserta yang mengikuti program akan dinilai dan mereka juga berpeluang memperoleh sijil tamat kursus walaupun tiada syarat wajib pandai memasak diletakkan.

“Mereka tidak perlu pandai memasak kerana kita akan ajar perkara itu menerusi resipi mengagumkan yang tidak pernah ada di tempat lain seperti burger kibas, misalnya. Kemudian mereka berniaga dengan resipi yang diajarkan itu.

“Kami akan turut mengadakan saringan dari segi keupayaan dan komitmen bagi memastikan peserta berkenaan layak mendapat modal untuk memulakan perniagaan yang mereka idamkan.

“Penilaian dibuat atas daya usaha dan komitmen ditonjolkan, jika mereka benar-benar boleh buat, barulah kira berikan modal, itulah namanya membantu,” katanya yang bertindak sebagai pengurus Romawe Resources.

Bagaimanapun, tugas Badul setakat di situ, bahagian mengajar memasak diserahkan kepada Chef Mohd Kamal Abdullah, 33 yang mempunyai pengalaman bekerja di Korea, China, Hong Kong dan Genting Hinglands.

Romawe Resources dimulakan pada awal tahun ini dan program memasak dengan bayaran pendaftaran RM150 itu dijadual bermula di tempat seperti di Kuantan, Pekan, Pahang dan Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun fokus utama kepada golongan belia, peluang juga dibuka kepada ibu tunggal.

Menurut Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, saluran bantuan kewangan datangnya daripada seorang individu mahu namanya dirahsiakan.

"Saya dikelilingi hamba Allah yang ikhlas bersimpati memberi bukan saja kepada saya tetapi yang lain

"Hamba Allah ini ingin membantu, dan saya menjalankan amanah diberikannya.

"Tahun lepas, individu sama juga menanggung semua perbelanjaan umrah untuk seramai 120 orang," katanya.

Lihat Komen