malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham: Sumbangan RM100,000 Azmin bukan 'dedak'
ADS

Pengarah dan pelakon Ahmad Idham menganggap keprihatinan kerajaan Selangor menyumbang dana bernilai RM100,000 kepadanya sebagai amanah untuk memartabatkan pusat pendidikan khas diasaskan, bukannya ‘dedak’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Ahmad selaku pengarah Eden Firdaus berkata, dana untuk pusat pendidikan khas itu bertujuan menyediakan program khusus untuk pembangunan golongan anak Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya tidak pernah merasa atau menganggap dana yang disumbangkan itu sebagai dedak. Dan bukannya bagi duit hari ini, esok tengok saya boleh pandu kereta BMW.

“Takkan duit kanak-kanak istimewa pun kita hendak politikkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau justeru menggesa pihak yang tidak faham supaya tidak menulis ikut sedap mulut sahaja.

Menurutnya, setiap bantuan akan dihargai sama ada diberi oleh pihak Kementerian Pendidikan mahupun kerajaan negeri.

Sebuah blog mendakwa Ahmad memakan rasuah dan “menjual modal” OKU untuk mendapatkan habuan RM100,000 daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahmad sebelum itu mengeluh di media sosial berhubung bantuan untuk Eden Firdaus yang kemudian mendapat respon positif Azmin.

Ahmad atau nama penuhnya Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, 43, menubuhkan pusat itu di Kota Damansara, Selangor pada Februari tahun lepas.

Pengalaman membesarkan anak istimewa membuatkan Ahmad terpanggil untuk memberi pendedahan sebenar kepada ibu bapa yang berkongsi nasib sama.

Pusat itu dinamakan sempena anak sulungnya Ahmad Firdaus yang menghidap focal encephalitis (radang pada otak) disebabkan sawan hingga mengakibatkan kesukaran berjalan dan bertutur.

Lancar skim biasiswa

Sementara itu, Ahmad menjelaskan, wang diterimanya akan dijadikan sebagai biasiswa pendidikan kepada anak istimewa dari golongan berpendapatan rendah.

“Tidak semua ibu bapa berkemampuan kerana kos tinggi untuk memberi pendidikan terbaik selain menggunakan khidmat guru pakar.

“Pusat ini mengaplikasikan standard pendidikan dari luar negara seperti di Singapura dan Amerika selain mengehadkan kuota seorang guru nisbah tiga pelajar bagi pembelajaran lebih efektif.

“Skim biasiswa berkenaan akan dilancarkan pada bulan April sempena bulan kesedaran autisme dan surat tawaran akan diberikan kepada mereka yang berjaya,” katanya.

Ahmad berkata, sebelum ini fikirannya menjadi buntu apabila usaha untuk mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pendidikan gagal.

“Bukan tidak pernah guna cara lain, saya pernah dijanjikan satu temu janji untuk menyelesaikan perkara ini tetapi tiada respon dari pegawai yang berkenaan malahan panggilan telefon dan mesej diberikan juga tidak berjawab,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen