malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dondang Sayang akan diangkat ke Unesco
ADS

Jabatan Warisan Negara akan mengangkat Dondang Sayang sebagai elemen Warisan Kebudayaan Tidak Ketara ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan dunia.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mod Zaky Din berkata, Jabatan Warisan telah bersedia dengan menjalankan penyelidikan yang rapi terhadap Dondang Sayang serta telah mendokumen mengikut garis panduan yang lengkap bagi pertubuhan dunia itu.

"Oleh kerana persaingan terlalu sengit, jadi jawatankuasa pencalonan di peringkat UNESCO hanya mengehadkan satu negara hanya satu seni warisan sahaja yang boleh diangkat ke pertubuhan dunia itu di mana Malaysia telah mencalonkan Dondang Sayang, yang bertapak di Melaka itu.

Kalau kita mahu angkat lebih daripada satu, ia hendaklah bergabung bersama negara lain seperti Indonesia, Brunei di bawah elemen yang sama seperti pantun yang turut kita angkat bersama Indonesia," katanya selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Keupayaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Modul 3 & 4 di Kuala Terengganu hari ini.

Mod Zaky berkata dengan mengangkat Dondang Sayang ke UNESCO ia sekali gus dapat meningkatkan imej negara ini di mata dunia selain memperkembangkan minat masyarakat dunia terhadap seni dan budaya masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, setakat ini yang telah diiiktiraf bagi elemen seni persembahan ialah Mak Yong manakala empat lagi yang telah diangkat dan diiktiraf bagi elemen Memory Of The World iaitu Batu Bersurat, Surat-surat Sultan Abdul Hamid, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Beliau berkata, sehingga kini dalam bidang warisan tidak ketara, negara telah mewartakan sejumlah 331 elemen untuk dilindungi oleh undang-undang negara.

Mengenai bengkel pada hari ini, Mod Zaky berkata ia bertujuan untuk memberi latihan pembelajaran bagi membentuk keperluan modal insan negara anggota UNESCO dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara menurut pelaksanaan keperluan peruntukan Konvensyen 2003 UNESCO.

- Bernama

Lihat Komen