malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Gagal bayar hutang, Ahmad Dhani dikejar peniaga barang antik
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 2:06 PM
Dikemaskini: 7:27 AM
ADS

Akibat didakwa gagal menjelaskan hutang sejak setahun lalu, artis kontroversi Indonesia, Ahmad Dhani dikejar peniaga barangan antik di Pasar Cikapundung, Bandung.

Ketika ditemui wartawan, bekas vokalis kumpulan Dewa itu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan gagal menjelaskan hutang dianggar lebih RM100 juta (RM3,300).

Sebaliknya, Ahmad Dhani hanya mahu melayan soalan berkaitan pasangan calon dan wakil gabenor Jakarta yang didukungnya, Sandiaga Uno.

"Kita bicara ini dulu (mengenai Sandiaga Uno), yang lain-lain nanti saja," ujarnya.

Berita itu tersebar selepas muncul sebuah klip video memaparkan ketua peniaga barangan antik Cikapundung, Rully menagih hutang daripada Ahmad Dhani.

Dalam rakaman pendek dan menjadi tular di media sosial itu, Rully meminta Ahmad Dhani tampil di Pasar Cikapundung bagi menyelesaikan hutangnya yang tertunggak sejak 24 April 2016.

Menurut Rully, dia sebelum ini memberikan kepercayaan kepada Ahmad Dhani kerana pemuzik itu sering berulang alik membeli barangan antik dari kedainya sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Atas kepercayaan itu, katanya, dia membenarkan Ahmad Dhani mengambil dahulu sesuatu barangan dan membuat pembayaran balik dalam tempoh dua hingga empat bulan kemudian.

Namun selepas beberapa bulan berlalu, suami Mulan Jameela itu tidak menampakkan batang hidungnya di Pasar Cikapundung walaupun tahu dirinya belum melunaskan baki hutang tersebut.

Menurut Rully, pelbagai kaedah digunakan bagi mendapatkan semula wangnya, termasuk mengirim surat dan menghantar pesanan ringkas (SMS) ke pejabat pengurusan Republik Cinta yang diasaskan Ahmad Dhani.

Bagaimanapun, usaha itu gagal membuahkan hasil.

“Kami sudah berusaha mengirimkan surat sejak beberapa bulan lalu, kemudian disusuli dengan SMS ke telefon genggam Ahmad Dhani.

“Namun, kerana sibuk dengan perjuangannya ke atas Republik Indonesia, Ahmad Dhani mungkin tidak mempunyai waktu untuk menitik beratkan hal berkenaan,” katanya.

Lihat Komen