malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
LPF salahkan pengarah kerana tonjol 'elemen gay'
Diterbitkan:  Mar 19, 2017 3:56 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
ADS

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) Tan Sri Abdul Halim Abdul Hamid menyalahkan pengarah Beauty and The Beast, Bill Condon kerana menonjolkan adegan gay dalam filem Disney itu.

Beliau berkata, LPF mencadangkan babak empat minit dan 38 saat yang menampilkan sebuah lagu dipotong kerana mengandungi lirik tidak senonoh selama tiga saat oleh watak Le Fou (lakonan Josh Gad).

"Tetapi kita tidak boleh mencadangkan potongan tiga saat kerana ia akan membuat lagu itu bercelaru dan orang akan marah. Potongan lain adalah mengenai perbuatan.

"Mungkin jika Condon tidak menyebut tentang 'unsur gay', orang tidak akan menjadi begitu ingin tahu dan kita boleh biarkan ia dengan potongan minima. Dan semua ini mungkin tidak menjadi isu," kata Abdul Halim memberitahu New Sunday Times.

Beliau juga menegaskan bahawa tujuan LPF adalah untuk memelihara filem dalam bentuk asalnya sebanyak mungkin.

"Tetapi dalam babak ini 'elemen gay' bercampur aduk, kita terpaksa melindungi diri kita sendiri. Oleh itu, apa yang pada mulanya tiga saat, telah menjadi lebih daripada empat minit.

"Ibu bapa pasti bertanya kami apa pendirian kami mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas menonton filem itu dan bagaimana kami membenarkan sesuatu filem ditonton oleh kanak-kanak tanpa penapisan.

"Inilah perkara-perkara yang menjadi sukar bagi kami untuk menjawab," katanya.

Tiga adegan bermasalah

Abdul Halim berkata beliau sendiri mahu menonton filem itu dengan cucunya kerana ia adalah berdasarkan cerita dongeng yang ditulis pada abad ke-18 dan kemudian disesuaikan sebagai filem animasi oleh Disney pada tahun 1991.

"Dia tidak tahu apa yang telah berlaku tetapi ibunya sangat kecewa. Saya rasa seluruh keluarga agak kecewa," katanya.

Berikutan cubaan LPF menapis sebahagian filem itu, Disney menangguhkan tayangannya sementara menunggu proses rayuan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata terdapat tiga perkara dalam filem itu yang dirasakan LPF tidak sesuai untuk penonton Malaysia.

Yang pertama adalah lagu dan tempat kejadian di mana Le Fou memeluk satu lagi watak lelaki, Gaston, dari belakang.

"Keduanya adalah lirik lagu tidak senonoh dengan sindiran seksual dan ketiga adalah kejadian yang berlaku pada akhir filem.

"Kami faham lagu asal (dari animasi 1991) itu tidak mempunyai apa-apa rujukan (gay).

Khalayak terlalu kecewa

Memetik kenyataan Condon, Abdul Halim mendakwa sesetengah ibu bapa menghantar e-mel menyatakan kebimbangan mereka kepadanya dan merujuk tindakan Rusia menyemak semula klasifikasi filem berkenaan agar ditonton golongan dewasa sahaja.

Abdul Halim juga menegaskan filem itu dihalang untuk ditayangkan di pawagam Alabama, Amerika Syarikat.

"Malaysia tidak mengiktiraf ideologi LGBT, jadi kami perlu lebih berhati-hati dalam kerja kami.

"Kita mempunyai tanggungjawab kita kepada negara, rakyat dan perlembagaan kita. Jika kita biarkan adegan ini berlaku, orang akan tertanya-tanya jika Malaysia mengiktiraf LGBT," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Halim sendiri mendapati filem itu "sangat lucu dan menghiburkan."

"Kisah ini berkenaan kasih seorang anak perempuan untuk bapanya. Belle adalah role model yang kuat kerana dia suka membaca dan juga membuat ciptaan sendiri, sama seperti bapanya," katanya.

Lihat Komen